Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IOI, Sime Darby antara syarikat M'sia dituduh punca kebakaran di Indonesia
Diterbitkan:  Sep 13, 2019 9:16 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Kerajaan Indonesia menamakan empat syarikat minyak sawit yang mempunyai hubungan dengan Malaysia sebagai antara penyebab kebakaran beberapa hutan di republik itu.

Antara syarikat yang dinamakan ialah Sukses Karya Sawit, iaitu unit IOI Corporation (IOI), dan Sime Indo Agro, iaitu unit Sime Darby Plantation (Sime Darby).

IOI Corporation adalah konglomerat yang beribu pejabat di Putrajaya, manakala Sime Darby Plantation adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan Malaysia (GLC).

Sime Darby Plantation juga dilaporkan sebagai syarikat perladangan kelapa sawit terbesar di dunia berdasarkan keluasan kawasan penanaman, dan pengeluar terbesar minyak kelapa sawit.

Menurut laporan Reuters hari ini, Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia Siti Nurbaya Bakar juga menamakan Rafi Kamajaya Abadi dan Adei Plantation & Industry yang berpangkalan di Riau sebagai dua syarikat lain yang bertanggungjawab memulakan kebakaran hutan.

Rafi Kamajaya Abadi adalah unit milik TDM Berhad yang dimiliki kerajaan Terengganu, manakala Adei Plantation & Industry adalah unit Kuala Lumpur Kepong Berhad.

Siti Nurbaya dilaporkan berkata bahawa tanah-tanah dari empat syarikat itu ditutup apabila kebakaran dilihat berlaku.

Ketika dihubungi, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin memberitahu Reuters bahawa Indonesia harus mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan kebakaran.

"Indonesia harus mengambil tindakan terhadap pelaku kebakaran hutan, tanpa mengira siapa mereka dan tanpa rasa takut atau suka, mengikut undang-undang tanah.

"Yang paling penting, kebakaran hutan mesti dipadamkan secepat mungkin," katanya seperti dilapor.

Sementara itu, Reuters memetik Minamas Plantation, sebuah unit Sime Darby Plantation yang mengendalikan operasi syarikat itu di Indonesia, yang berkata pihak mereka tidak maklum tanah mereka telah ditutup.

Minamas turut berkata bahawa pihaknya sebelum ini memantau kawasan tanah mereka untuk mengesan titik panas.

 

Reuters turut melaporkan bahawa: "Sime Darby dan IOI berkata mereka sedang memeriksa operasi mereka di Indonesia Sukses Karya Sawit, Rafi Kamajaya Abadi dan Adei Plantation & Industry tidak dapat dihubungi.

"Kuala Lumpur Kepong dan TDM Berhad, yang dimiliki oleh kerajaan negeri Terengganu di Malaysia, tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan ulasan."

Secara kebetulan, suami Yeo, Lee Yeow Seng adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOI Properties.

Malaysiakini telah menghubungi Yeo, Lee, pengerusi bukan eksekutif IOI, Peter Chin Fah Kui dan Sime Darby untuk mendapatkan ulasan.

Pasukan Yeo meminta agar merujuk respon Yeo seperti dilapor Reuters, manakala Sime Darby dan IOI dijangka mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.

Dalam laporan Reuters juga, Indonesia menyatakan ia telah menutup perladangan yang dikendalikan oleh kira-kira 30 syarikat dan membawa tuduhan jenayah terhadap empat syarikat berkenaan.

Perkembangan ini hadir ketika Indonesia menghadapi tekanan antarabangsa terhadap peranannya sebagai sumber utama jerebu di rantau ini, berikutan kadar kebakaran hutan yang tinggi.

 

Dilaporkan bahawa lebih daripada 42,000 hektar tanah Indonesia telah dibakar sejak Januari, dengan beratus hektar masih terbakar.

Analisis data satelit oleh Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) mendapati bahawa terdapat dua kali ganda lebih banyak titik panas di wilayah Indonesia di Sumatera dan Kalimantan berbanding dengan keseluruhan Malaysia.

ASMC juga menyatakan bahawa keadaan angin membawa asap dari titik panas di Sumatera ke Semenanjung Malaysia, dan dari Kalimantan ke Sabah, Sarawak, dan Brunei.

ASMC adalah badan antara kerajaan yang terdiri daripada agensi-agensi cuaca di semua negara anggota Asean.

Ketegangan timbul antara menteri-menteri alam sekitar Malaysia dan Indonesia selepas Siti Nurbaya pada mulanya mendakwa masalah itu disebabkan oleh asap yang dilepaskan ke Kuala Lumpur dari Sarawak.

Yeo kemudian memberitahu rakan sejawatan itu agar tidak dalam penafian dan menggesa merujuk data ASMC.

Bagaimanapun, hari ini, Nurbaya dilaporkan menjelaskan kata-katanya, mendakwa dia hanya menerangkan data satelit yang diambil antara 3 dan 8 Sept.

"Itu adalah data yang saya jelaskan, saya minta (semua) menjadi objektif, jika kita bercakap mengenai data hari ini, sudah pasti keadaannya berbeza," katanya.

Lihat Komen
ADS