Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Sambut Hari Malaysia gaya pendekar, serikandi Melayu

Di ibu kota, perayaan Hari Malaysia hari ini seolah-olah menjadi gelanggang buat pendekar dan serikandi Melayu apabila kira-kira 1,500 orang membanjiri Dataran Merdeka lengkap berbusana tradisional Melayu.

Cuaca kelam oleh jerebu tengah hari tadi menjadi meriah apabila dua kumpulan peserta dari Masjid Negara dan Masjid Jamek berarak beramai-ramai sambil mengenakan persalinan warna-warni menuju Panggung Bandaraya, dekat Dataran Merdeka, bagi menjayakan Himpunan Busana Kebangsaan sempena Hari Malaysia.

Menjadikan himpunan kali ini lebih meriah, ialah kempen 'Hari Tanah Melayu Kembali Bertanjak' yang turut berlangsung hari ini, menyebabkan hampir semua peserta lelaki yang hadir ke himpunan itu mengenakan tanjak di kepala masing-masing berbanding songkok.

Kedua-dua acara itu bagaimanapun tiada kena mengena. 

Kempen bertanjak digerakkan Nur Ahmad Faiz Mohd Adni, manakala himpunan itu pula dianjurkan oleh Gerakan Rakyat Kebangsaan (Gerak).

Kemeriahan himpunan sebenarnya terasa lebih awal, sebelum perarakan bermula, apabila peserta yang berkumpul di masjid bagi menunaikan solat Zohor, tidak melepaskan peluang membidik gambar kenang-kenangan antara satu sama lain, termasuk dengan beberapa pelancong asing yang teruja melihat suasana unik dan meriah itu.

Sesampainya di Panggung Bandaraya, ketika doa sedang dibacakan sebagai pembuka acara, hujan turun lebat pada jam 2.30 petang, sehingga sebahagian peserta lari mencari tempat berteduh.

Namun, sebahagian besar, tidak berganjak dan tetap berdiri mengelilingi gelanggang utama ditimpa hujan lebat.

'Satu Melayu, Satu Rakyat, Satu Malaysia'

Biarpun rata-rata peserta lencun, acara tetap diteruskan dengan pelbagai pengisian seperti bacaan ikrar, deklamasi sajak, nyanyian lagu-lagu patriotik dan persembahan silat daripada beberapa kumpulan silat.

Hujan berselang-seli reda dan kembali lebat, beberapa kali sepanjang himpunan berlangsung.

Sebelum himpunan tamat, Dataran Merdeka bergema dengan laungan “Satu Melayu! Satu rakyat! Satu Malaysia” oleh peserta himpunan, diketuai oleh wakil penganjur.

Kira-kira jam 4 petang semasa zikir dialunkan sebagai tanda penamat acara, suasana menjadi hiba apabila ada peserta yang tidak dapat menahan air mata ketika berpelukan dan bersalaman antara satu sama lain.

Sebelum pulang, peserta tidak melepaskan peluang mengambil gambar masing-masing, sebagai bukti menghadiri himpunan yang julung-julung kali diadakan itu.

Tak ada provokasi

Menurut wakil pengajur, Mohd Faizul Salehuddin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Tuah dari Gerak tujuan himpunan itu adalah untuk penyatuan ummah dan bukan mencetuskan provokasi, sebaliknya untuk menolak provokasi yang sengaja dicetuskan pihak tertentu.

“Tak ada provokasi, malah kita sebenarnya nak menolak provokasi yang sedang berlaku di kalangan kita, (apabila) ada provokasi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab mengatakan kita (orang Melayu) ada masalah dengan kaum itu, kaum ini. Tak ada.

“Himpunan ini tak melibatkan parti politik, NGO yang turun pun sebenarnya kita tak suruh bawa logo mereka, kita turun hanya atas nama rakyat Malaysia yang sayangkan keharmonian sedia ada.

“Mungkin pada masa akan datang, kita boleh awalkan lagi (usaha) meuar-uarkan untuk bangsa lain boleh turun bersama. Sebenarnya kita dah jemput bangsa lain, tapi mereka tak turun, mungkin sebab benda baru, ini pertama kali,” katanya kepada pemberita selepas tamat himpunan.

Difahamkan, peserta himpunan datang dari pelbagai negeri, termasuklah Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu.

Lahirkan generasi kenal budaya

Seorang lagi wakil penganjur dari Gerak, Wan Asshima Kamaruddin, 35, berkata, himpunan itu telah dirancang rapi sejak sebulan lalu dan mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Masjid Negara serta Masjid Jamek.

“Pengesahan daripada Dewan Bandraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula kita dapat dua minggu lepas.

“Kita hendak lahirkan generasi yang tahu budaya kita, seperti persilatan, gerak tari, budana tradisional. Kalau boleh, kita mahu Hari Malaysia itu dijadikan hari kita berbusana tradisional, bertanjak dan sebagainya.

“Hari Malaysia hari yang menyatupadu, buat rumpun Melayu dan semua kaum di negara ini,” katanya.

Pelbagai rekaan tanjak

Himpunan itu juga membuka peluang buat peniaga-peniaga tanjak untuk memasarkan tanjak masing-masing, dengan pelbagai reka bentuk dan warna- ada yang berwarna hitam, ada yang bermotif songket, dan ada yang bermotif batik.

Bagi peniaga tanjak dan baju bermesejkan Melayu, Isma Halil, 20, dia sanggup turun dari Perak untuk tidak melepaskan peluang menyertai himpunan itu.

“Alhamdulillah, saya bawa tanjak dalam 50, tinggal sedikit saja lagi. Baju pula hanya tinggal 10 ke 20 helai sahaja,” katanya yang mendapat maklumat tentang program itu melalui Facebook.

Tanjak yang dijual di himpunan itu berharga dari RM20, RM30, RM40, hinggalah ke RM50, bergantung pada reka bentuk.

Bagi seorang perserta himpunan, Abdul Muhsin Mohd Daud, 34, dia berharap acara seperti itu boleh dianjurkan setiap tahun pada masa akan datang.

“Harap dapat anjur tiap-tiap tahun. Memang sangat-sangat meriah, bersesuaian dengan Hari Malaysia.

“Tak diduga, masih ada lagi semangat pendekar Melayu,” katanya ketika ditemui di akhir acara.

Lihat Komen
ADS