Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga 2 lelaki mati ditembak polis tuntut penjelasan

Ahli keluarga dua lelaki yang ditembak mati oleh pihak polis di Batu Arang, Rawang awal pagi Sabtu lalu menuntut penjelasan di sebalik insiden itu.

Mereka turut mempersoalkan nasib seorang wanita, iaitu isteri salah seorang si mati, yang kini tidak dapat dikesan.

Keluarga berkenaan berkata mereka pelik dengan kenyataan polis bahawa kedua-dua si mati, yang merupakan adik-beradik ipar, bersama seorang lagi kawan mereka yang turut ditembak mati, merupakan suspek kes samun berkumpulan.

Jasminder Kaur, 31, berkata suaminya G Thavaselvan, 31 keluar makan malam di sebuah restoran di Serdang sehari sebelum itu bersama kakaknya, G Moganambal, 35, suaminya V Janarthanan, 40 dan kawan Thavaselvan, S Maghendran, 23.

Janarthanan ialah warganegara Sri Lanka yang memegang status penduduk tetap dan bekerja di UK.

Kata Jasminder, Janarthanan bersama Moganambal dan tiga anak mereka tinggal di Portsmouth dan tiba di sini pada 27 Ogos untuk melawat saudara mereka yang sakit.

Katanya, laporan polis dibuat pada Sabtu lalu memandangkan keempat-empat mereka tidak pulang ke rumah, tetapi hanya dimaklumkan bahawa tiga daripada mereka ditembak mati pada Ahad.

"Saya nak dapatkan gambaran jelas, apa terjadi pada suami saya, mana kakak ipar saya, dan kenapa isteri dia dibunuh?

"Saya nak jawab apa kepada anak-anak mereka?" katanya.

Jasminder berkata, adalah sesuatu yang tak masuk akal untuk mendakwa suami kakak iparnya terlibat dalam jenayah itu, memandangkan keluarga itu agak berada di UK dan hanya datang ke sini untuk melawat seseorang.

"Selagi kami tak dapat keadilan, selagi kami tak dapat semula kakak ipar saya, kami tak akan tuntut mayat mereka (yang terkorban)," katanya.

Menurut Jasminder, keempat-empat mereka keluar menaiki Perodua Alza yang disewa oleh keluarga Janarthanan, sedangkan kereta yang dilaporkan terlibat dalam kejar-mengejar dengan polis ialah jenis Volkswagen Polo.

Tambahnya, Alza yang digunakan empat orang itu ditemui di Serdang, tidak jauh dari restoran yang dikunjungi malam itu.

Sementara itu, Loganatharan, 17 yang merupakan anak sulung Janarthanan dan Moganambal berkata dia tidak dapat mempercayai bahawa ayahnya mati ditembak pihak polis.

"Kami dengar bahawa mereka tiga orang ditembak mati, tapi saya tak percaya, sebab ayah saya bukan orang macam tu. Dan mak saya pula masih hilang. Kami harap polis dapat temui dia, sebab kami mahu emak kami semula.

"Kami dah kehilangan ayah kami, kami dah tak ada sesiapa lagi. Kami ada masa depan di UK," katanya.

Peguam keluarga terbabit, Sivahnanthan Ragava berkata, mereka mahu ketua polis negara meneliti perkara itu dengan serius, dan memberikan jawapan apa yang terjadi kepada Moganambal.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana Janarthanan dan Moganambal boleh menjadi suspek sedangkan mereka hanya datang ke negara ini selepas enam tahun untuk melawat seseorang.

Pada Sabtu, Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin ketika mengadakan sidang media memaklumkan bahawa sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menembak mati tiga suspek kes samun dalam kejadian tembak-menembak di Jalan Batu Arang, kira-kira jam 5 pagi hari berkenaan.

Katanya, lelaki-lelaki terbabit tidak mahu memberhentikan kenderaan untuk diperiksa apabila diarahkan berbuat demikian, membawa kepada adegan kejar-mengejar sebelum kereta suspek hilang kawalan dan terbabas.

Menurut Noor Azam, tembakan kemudiannya dilepaskan ke arah pihak polis, sebelum polis membalas tembakan itu, menyebabkan ketiga-tiganya terbunuh. 

Polis turut merampas beberapa senjata, termasuk dua pistol semi-automatik dan tiga bilah parang.

Sementara itu, ketika dihubungi, Noor Azam berkata polis akan menyiasat dakwaan keluarga tersebut berhubung kehilangan wanita  berkenaan.

Katanya, polis juga akan melihat apakah hubungan wanita tersebut dengan kesemua suspek. 

Lihat Komen
ADS