Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli perniagaan mengaku salah beri rasuah pada Ku Nan

Ahli perniagaan Tan Boon Eng yang didakwa memberi rasuah sebanyak RM1 juta kepada bekas menteri, Tengku Adnan Tengku Mansor membuat kejutan apabila mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif hari ini.

Proses itu dijalankan di hadapan kamera di mana pihak media tidak dibenarkan membuat liputan prosiding mahkamah awal hari ini.

Terdahulu, mahkamah sepatutnya mendengar permohonan Tan untuk menangguhkan perbicaraan bersama Tengku Adnan yang dijangka bermula pada Khamis.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Tan membayar denda RM1.5 juta selepas mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Tengku Adnan dalam melakukan kesalahan itu.

Tuduhan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 165 undang-undang yang sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, Tan akan dihukum penjara setahun sekiranya dia gagal membayar denda itu esok.

Hakim berkata beliau membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan bahawa Tan telah mengaku bersalah terhadap tuduhan alternatif sebelum perbicaraan rasuah dimulakan, yang telah menjimat masa dan kos mahkamah.

Mahkamah juga menyatakan bahawa ini adalah sabitan pertama terhadap Tan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berkata Tan akan menjadi salah seorang saksi dalam perbicaraan rasuah terhadap bekas menteri wilayah persekutuan itu.

Menurutnya, pihak pendakwan meminta mahkamah mengenakan denda terhadap Tan antara RM750,000 dan RM1.5 juta.

Awal bulan lepas, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan agar Tengku Adnan dan Tan dibicarakan secara bersama. 

Julia berkata beliau menjangka perbicaraan Tengku Adnan akan bermula pada Khamis seperti yang dijadualkan.

Pada November tahun lepas, Tan didakwa mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana memberi suapan kepada Tengku Adnan melalui cek Public Bank milik Pekan Nenas Industries Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun CIMB bekas menteri itu.

Pembayaran itu didakwa dibuat pada 27 Dis 2013 untuk Tengku Adnan, yang dirujuk sebagai Ku Nan, kerana memberi kelulusan kepada permohonan syarikat itu untuk menaikkan nisbah plot bagi tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Tan juga menghadapi pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Tengku Adnan dalam melakukan kesalahan itu dan boleh dihukum di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Pada 15 Nov tahun lepas, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM1 juta daripada Tan untuk meluluskan permohonan oleh sebuah syarikat untuk menaikkan nisbah plot yang berkaitan dengan projek pembangunan di Jalan Semarak.

Lihat Komen
ADS