Paling Popular
Terkini

Kerajaan Perak sedang mengambil beberapa petunjuk daripada perbincangan dengan pegawai AS mengenai cara terbaik memastikan keselamatan sempadannya.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata input itu diperlukan bagi meningkatkan keupayaan negeri menangani jenayah merentasi sempadan, terutama di Pengkalan Hulu di daerah Hulu Perak, yang bersempadan dengan Thailand dan Kedah.

“Inilah antara sebab yang perlu kita adakan perbincangan dengan rakan-rakan di Amerika ini untuk membantu kerajaan negeri atau pasukan keselamatan kita untuk membanteras masalah seperti ini," katanya.

Ahmad Faizal berada di Washington kerana mengiringi Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin yang dalam lawatan kerja ke ibu negara AS, sebelum ke New York, yang disasar bagi meningkatkan hubungan keselamatan kedua-dua negara.

Selain menteri besar, turut bersama dalam rombongan Muhyiddin ialah Ketua Polis Perak Razarudin Husain.

Ahmad Faizal berkata lawatan ke Jabatan Polis New York akan memberikan peluang kepadanya untuk mendapatkan gambaran lebih dekat bagaimana mereka melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan.

"Tentunya saya yang mewakili kerajaan negeri dan pasukan keselamatan akan dapat input baru tentang bagaimana kita boleh membawa kemajuan dari segi keselamatan di Ipoh dan seluruh negeri Perak," katanya.

Menteri besar itu berkata Perak juga berminat untuk mempelajari lebih lanjut mengenai kelestarian perlombongan.

“Kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan Biro Sumber Tenaga AS untuk memupuk kelestarian perlombongan,” katanya dengan merujuk kepada agensi di bawah Jabatan Negara.

"Kita sedia maklum bahawa Perak begitu kaya dengan pelbagai sumber mineral, dan amat penting bagi kerajaan negeri untuk mendapat maklumat lebih mendalam tentang teknologi terkini ke arah melaksanakan usaha perlombongan secara lestari," katanya.

Ahmad Faizal juga memperakui kepentingan dalam menangani salah tanggapan di kalangan negara-negara barat dalam isu berkaitan penebangan hutan.

"Ini satu perkara yang saya fikir perlu diperjelaskan kepada negara maju seperti AS betapa kita menjaga alam sekitar dengan begitu baik," katanya, sambil menjadikan Perak dengan sekurang-kurang 48 peratus kawasannya masih diliputi hutan sebagai contoh.

- Bernama

Lihat Komen
ADS