Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan telah membayar faedah sebanyak RM9 bilion bagi hutang berkaitan 1MDB, kata Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah.

Bagaimanapun katanya, hutang pokok syarikat pelaburan negara itu yang berjumlah RM36 bilion masih belum dibayar setakat ini.

"Kerajaan komited dan berusaha untuk menyelesaikan hutang berkenaan mengikut jadual yang ditetapkan bagi mengelakkan reputasi negara terjejas.

"Setakat ini, kita hanya membayar faedah hutang hampir RM9 bilion, yang pokoknya berjumlah RM36 bilion masih belum tersentuh.

"Pada masa sama, kita memerlukan perbelanjaan pembangunan untuk perkara lain juga. Jadi kita akan melihat keutamaan di mana. Apabila tiba masanya kita akan bayar, namun kita juga akan memastikan projek pembangunan lain dapat diteruskan juga," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Akauntan Sektor Awam Kebangsaan Ke-29 di Kota Bharu, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 tahun lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilaporkan berkata kerajaan mendapati negara mungkin perlu membayar sehingga RM43.9 bilion lagi bagi menyelesaikan hutang 1MDB itu.

Sementara itu Amiruddin berkata, jaminan kerajaan yang tidak sepatutnya membayar hutang 1MDB memberi kesan terhadap perbelanjaan pembangunan negara.

"Alangkah baiknya, wang yang digunakan untuk membayar jaminan kerajaan ini diperuntukan untuk pembinaan hospital, sekolah, jalan raya dan baik pulih sekolah daif yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat.

"Saya ingat perkara ini kita dapat lakukan dengan lebih cepat sekiranya tidak diganggu oleh pembayaran hutang yang tidak sepatutnya negara tanggung," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya di majlis tersebut, Amiruddin berkata, kerajaan akan melaksanakan sistem akruan sepenuhnya menjelang tahun 2021.

Menurutnya, ia merupakan satu inisiatif kerajaan bagi memastikan dan liabilit kerajaan diurus dengan lebih berkesan serta dapat memberi laporan kewangan lebih tepat dan telus.

"Sehubungan itu, Jabatan Akauntan Negara telah mengkaji semula akta dan undang-undang yang berkaitan.

"Pindaan rang undang-undang berkenaan dijangka akan dibentang di parlimen pada penghujung tahun ini," katanya.

Lihat Komen
ADS