Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘MB S’gor zalim jika rampas tanah petani terbabit pembakaran’

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) melabelkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sebagai zalim berhubung cadangannya untuk merampas tanah petani yang melakukan pembakaran terbuka sehingga memburukkan situasi jerebu di negara ini.

Presidennya, Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, aktiviti pembakaran itu telah dilakukan sejak berkurun-kurun lamanya, dan bukannya faktor utama punca jerebu di negara ini.

“Apa yang mereka (petani) buat ini tiada impak besar dekat cuaca jerebu sekarang. Jadi kita sekarang ni tak boleh nak salahkan petani (negara) ini.

“Jerebu yang berlaku sekarang ini daripada kebakaran secara meluas di Kalimantan.

“Jadi itu sebenarnya masalah yang perlu kita selesaikan, bukan petani-petani yang membakar untuk pertanian mereka sebab itu sangat minimum,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mengulas kenyataan Amiruddin yang dibuat pada Isnin lalu untuk merampas tanah petani yang terbabit dalam pembakaran terbuka, Shariffa Sabrina menyifatkan tindakan itu sebagai kejam dan zalim.

“Jadi tak baiklah MB cakap macam tu, petani kita ni hanya kecil-kecillan sahaja mana ada petani kita di Selangor yang buat pembakaran secara besar besaran sebab Selangor ini banyak kawasan industri.

“Kalau mereka bakar secara berperingkat pada saya tiada masalah sebab itu cara mereka nak membuat baja jadi kalau MB kata nak rampas tanah mereka zalimlah, tak baiklah,” katanya.

Shariffa Sabrina sebaliknya mempersalahkan sikap kapitalis-kapitalis yang tamak dan gelojoh dengan aktiviti pembukaan, pembalakan dan pembakaran hutan secara berterusan.

Katanya, ketiadaan penguatkuasa juga antara punca berleluasanya aktiviti yang mengundang pencemaran masalah jerebu yang di hadapi rakyat sekarang.

Beliau juga berkata, pemimpin negara juga tidak terlepas daripada tanggungjawab ini malah harus dipersalahkan kerana didakwa membiarkan pembakaran itu berlaku.

“Mereka patut disalahkan kerana nak sangat menanam kelapa sawit yang kononnya mendatangkan hasil lebih pada ekonomi negara.

“Tapi sekarang bila berlakunya jerebu siapa nak datang, pelancong pun tak nak datang kesihatan pun terganggu jadi itu akan melibatkan peningkatan kos negara kita menjadi tinggi, jadi dalam jangka masa panjang yang ruginya kita lah sebagai rakyat.” katanya.

Pengesanan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) menunjukkan bahawa jerebu di Semenanjung Malaysia berasal dari Sumatra manakala jerebu di Sarawak pula berasal dari Kalimantan.

Lihat Komen
ADS