Paling Popular
Terkini

KES 1MDB NAJIB l Serbuan SPRM ke atas apartmen ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho di 3 Kia Peng di Kuala Lumpur adalah berdasarkan maklumat yang diberikan oleh bekas pembantu khas Najib Razak, iaitu Amhari Efendi Nazaruddin.

Amhari yang memberi keterangan semasa perbicaraan kes rasuah 1MDB Najib, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau membawa SPRM ke unit pangsapuri Low pada 27 Jun 2018.

Ini berlaku kurang dari seminggu selepas dia ditangkap oleh SPRM di rumahnya sejurus selepas pulang dari Kemboja.

Amhari, hari ini di bawah pemeriksaan balas oleh peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah, yang membentangkan kepada saksi itu dengan satu siri gambar serbuan berkenaan. Amhari juga dirakamkan dalam gambar tersebut.

Shafee menyoal Amhari sama ada dia yang memaklumkan kepada SPRM berhubung peti keselamatan di pangsapuri Low yang terletak di bawah meja atau SPRM yang menjumpainya sendiri.

"Seingat saya, prosedurnya adalah saksi mesti hadir apabila peti keselamatan dibuka.

"Saya fikir ini adalah protokol mereka, saya duduk di meja makan sehingga dan apabila kehadiran saya diperlukan," katanya.

Amhari selanjutnya memberi keterangan bahawa dia tidak pasti jika seorang tukang kunci dipanggil tetapi akhirnya peti itu berjaya dibuka.

Shafee: Apa yang ditemui?

Amhari: Saya rasa wang.

Shafee: Adakah seperti dalam (gambar) A8?

Amhari: Saya rasa begitu.

Shafee: Adakah mereka kira di hadapan kamu?

Amhari: Mereka tunjukkan kepada saya ikatan wang itu.

Shafee: Adakah mereka kiranya?

Amhari: Tidak.

Shafee juga menunjukkan Amhari gambar dapur Low yang turut digunakan sebagai ruang pejabat.

Amhari sebelum ini memberi keterangan bahawa beliau bertemu Low di situ di mana Low menjelaskan kepadanya mengenai tawaran yang rumit di atas papan putih elektronik.

Amhari dalam keterangannya sebelum ini berkata dia pergi ke rumah Low beberapa kali.

Shafee mempersoalkan sama ada keterangan itu benar, dengan mendakwa Amhari kerap pergi ke sana. Bagaimanapun, Amhari menafikan perkara itu.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.


Lihat Komen
ADS