Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib terlibat dalam projek rundingan terus RM450 juta

Putrajaya kini dikritik oleh pembangkang berhubung satu dokumen bocor yang mencadangkan projek pembinaan bernilai RM450 juta telah diserahkan tanpa tender terbuka.

Cubaan bagi mendapatkan pengesahan mengenai dakwaan ini mendedahkan bahawa projek tersebut telah diluluskan oleh pentadbiran sebelumnya dan mungkin disambung di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Projek yang dipertikaikan itu ialah binaan baru Bangunan Gunasama Persekutuan di Kota Bharu di Kelantan.

Pada Ahad lalu, ahli majlis tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii telah menyiarkan satu surat sulit yang ditujukan kepada Pejabat Perdana Menteri yang menunjukkan bahawa Kementerian Kewangan telah bersetuju dengan syarat sebuah syarikat PDM Builders Sdn Bhd membangunkan projek itu.

Pada hari berikutnya, bekas perdana menteri Najib Razak turut menulis mengenai perkara sama, dan mengkritik penggantinya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng kerana gagal menangani isu itu.

Bagaimanapun, semakan mendedahkan bahawa kelulusan untuk projek itu bermula semasa pentadbiran Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

Menurut laman web Kementerian Kerja Raya, kerja-kerja awal pecah tanah bermula pada 2016 manakala nilai projek itu didedahkan oleh pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan Kelantan Mustapa Mohamed, yang turut dihadiri oleh Najib.

Mustapa berkata projek itu, bernilai RM530 juta ketika itu, akan menggantikan bangunan persekutuan sedia ada, yang menempatkan agensi persekutuan. Bangunan baru itu akan menampung 2,000 orang, berbanding 820 sekarang.

“Pembinaan ini adalah bukti bahawa perdana menteri (Najib) sangat prihatin dan berjuang demi kepentingan penjawat awam di negeri ini," kata Mustapa seperti yang dipetik Utusan Malaysia.

'Nota' PM

Turut tersebar luas di atas talian merupakan surat lain, yang dikatakan daripada PDM Builders Sdn Bhd (PDM) dan bertarikh 1 Nov 2018. Surat itu mengandungi rayuan syarikat kepada Mahathir untuk projek itu diteruskan kerana kerja-kerja telah pun bermula.

Surat itu dikatakan mengandungi nota tulisan tangan oleh Mahathir, bertarikh 9 Mac tahun ini, yang dibaca: "Menteri Kewangan yang terhormat. Projek ini telah diberikan kepada PDM Builders, jika mereka mengurangkan kos, tender baru tidak diperlukan."

Surat yang ama menyatakan lebih lanjut bahawa PDM Builders telah memenangi hak untuk projek tersebut melalui proses tender terpilih - yang bermaksud bahawa pembida telah dijemput - dan ia merujuk kepada surat kelulusan kementerian kewangan bertarikh 20 April 2018.

Sekiranya surat ini benar, PDM Builders telah dianugerahkan kontrak selepas Parlimen dibubarkan (7 April 2018). Bagaimanapun, beberapa cubaan untuk mendapatkan komen dari PDM Builders tidak berjaya.

Menurut rekod syarikat itu dengan Suruhanjaya Syarikat (SSM), tiga pengarah syarikat itu ialah Abu Zakir Abdullah, Siti Hajar Hashim dan Muhammad Fahmi Abdul Ghani.

Syarikat tersebut diperbadankan pada tahun 2011 dan mencatatkan hasil sebanyak RM931,527 untuk FY2017.

Diteruskan tapi pada kos yang lebih rendah?

Semasa ditanya mengenai projek itu pada 15 September lepas, Mahathir berkata beliau akan menyemak dakwaan rundingan terus tersebut tetapi membuat spekulasi bahawa ia mungkin merupakan "kesinambungan" daripada kontrak sebelumnya.

Lim juga berkata beliau akan “menyemak” surat yang dikatakan dikeluarkan Kementerian Kewangan itu sebelum memberikan maklum balas yang betul.

Beliau menegaskan surat itu tidak pernah ditandatanganinya.

Sekiranya terbukti surat yang dikongsi oleh Mohd Razlan itu tulen bermakna PH akan meneruskan rundingan tersebut dengan PDM dengan kos yang lebih rendah sebanyak RM80 juta daripada yang dianggarkan sebelumnya. 

Ini menunjukkan pengurangan kos kira-kira 15 peratus.

Pada Mac, Lim mengumumkan bahawa 121 projek era BN diluluskan selepas ia dirundingkan semula bagi menjimatkan kos. Beliau tidak menyenaraikan projek-projek tersebut tetapi berkata mereka telah dianugerahkan melalui tender terhad atau rundingan terus.

Meskipun tidak menyalahi undang-undang untuk memberi kontrak tanpa proses tawaran terbuka, pemberian sebarang kontrak baru dengan cara ini bertentangan dengan manifesto pilihan raya PH.

Menurut Perkara 23 dokumen itu, gabungan itu berjanji untuk memperbaharui sistem perolehan awam untuk memastikan tender terbuka akan digunakan "secara meluas dan telus", terutama untuk projek-projek besar.

Lihat Komen
ADS