Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Menteri agama seru solat sunat tolak Jerebu Jumaat ini
Diterbitkan:  Sep 18, 2019 11:11 PM
Dikemaskini: 3:18 PM

Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof menyeru umat Islam mengadakan solat sunat Istisqa menolak bencana jerebu selepas sembahyang Jumaat minggu ini.

"Berikutan keadaan jerebu yang semakin kritikal melanda negara ketika ini, saya ingin menyarankan masjid-masjid di seluruh negara agar melakukan solat sunat Istisqa selepas solat Jumaat pada 20 September ini.

"Oleh itu, saya menyeru kepada semua masjid mengadakan solat sunat Istisqa bagi memohon hujan dan mengurangkan jerebu. Semoga Allah memelihara negara ini daripada jerebu serta bencana yang tidak diingini.

"Sebagai seorang Muslim, kita disarankan untuk berdoa agar segala masalah dan musibah yang melanda seperti keadaan jerebu ini dapat dikurangkan," katanya dalam suatu kenyataan malam ini.

Petang tadi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata pihaknya dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekirannya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Malaysia terus meningkat melebihi 500.

Ketua Pengarahnya Mohtar Mohd Abd Rahman dipetik Bernama berkata jika keadaaan itu berlaku, tindakan akan diambil mengikut garis panduan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan termasuk mengisytiharkan darurat bencana jerebu di kawasan yang terjejas.

Mohtar berkata antara tindakan yang akan dilakukan termasuk mengeluarkan nasihat penutupan pejabat atau premis kerajaan mahupun swasta dan lain-lain tempat bekerja termasuk kilang, ladang, kawasan binaan, kuari serta kerja-kerja tanah serta pemindahan tanah

Bagaimanapun, nasihat penutupan ini dikecualikan untuk sektor-sektor perkhidmatan yang penting seperti yang dinyatakan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Perhubungan Perusahaan perkhidmatan bekalan air dan elektrik, perkhidmatan kesihatan awam, bomba, penjara, serta perkhidmatan penyiaran dan televisyen.

Pada masa sama, Mohtar berkata arahan penutupan semua sekolah, taman didikan dan pusat jagaan kanak-kanak akan dilaksanakan untuk mengelakkan mereka yang berada di kawasan terjejas, terdedah dengan udara tidak sihat, sekali gus mengundang risiko terhadap kesihatan.

Sebelum ini, kerajaan pernah mengisytiharkan darurat bencana jerebu sebanyak tiga kali di Kuching, Sarawak pada 19 Sept 1997 apabila bacaan IPU 650; di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang, Selangor pada 1 Ogos 2005 apabila IPU mencecah 531, serta di daerah Muar dan Ledang, Johor apabila bacaan IPU melebihi 500 pada 23 Jun 2013.

Setakat ini Nadma bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dan Tentera Udara Diraja Malaysia telah pun melaksanakan pembenihan awan bagi menghasilkan hujan buatan di Putrajaya, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan pada 16 September lepas.

Kerajaan menerusi Wisma Putra juga mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Indonesia untuk menyatakan kebimbangan tentang isu berkenaan dan memohon negara itu mengambil tindakan tegas untuk mengatasinya.

Sementara itu, Pegawai Meteorologi Pusat Kawalan Nadma Mohamad Azan Abdul Razak berkata mengikut MET masalah jerebu diramal berkurangan pada minggu depan berikutan pola tiupan angin akan bertukar dari arah selatan ke utara sebelum ini kepada timur dan barat berikutan peralihan monsun.

“Sebelum ini angin bertiup dari Selatan ke utara menyebabkab asap kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera tertumpu sepanjang Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan bahagian Barat Sarawak mengakibatkan jerebu.

“Bagaimanapun pada minggu depan, keadaan dijangka berubah berikutan tiupan angin akan bertukar dengan bertiup dari arah timur ke barat dan tidak akan membawa jerebu merentasi negara kita,” katanya.

Lihat Komen
ADS