Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sembilan belas tahun lepas, negara digemparkan dengan insiden pertempuran antara pasukan keselamatan negara dan sekumpulan individu yang menggelarkan diri mereka Al-Maunah di Bukit Jenalik, Sauk di Perak, yang merancang untuk menggulingkan kerajaan.

Kejadian pada tahun 2000 itu turut menyaksikan Kumpulan Al-Maunah yang terdiri daripada 27 anggota melarikan senjata dan ribuan peluru dari kem Rejimen Askar Wataniah di Gerik, Perak.

Biarpun sudah dua dekad berlalu, peristiwa bergelut dengan ketua kumpulan itu, Mohd Amin Mohd Razali masih terpahat kukuh dan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh bekas Panglima Medan Tentera Darat, Lt Jen (B) Datuk Seri Mohd Zaini Mohd Said, 65 tahun.

Lebih mengesankan, apabila beliau terpilih mengetuai 'Op Subuh' bagi menyerbu pangkalan Al-Maunah yang berkubu di Sauk itu pada 2 Julai 2000.

Op Subuh merupakan operasi khas menggempur kumpulan Al-Maunah dan dengan kredibiliti beliau serta ketangkasan anggota keselamatan yang terlibat, berjaya menewaskan ketua kumpulan Al-Maunah itu dan membuatkan kesemua anggota kumpulan berkenaan menyerah diri.

“Kejadian itu disifatkan peristiwa terbesar di negara kita dan tidak pernah terlintas di fikiran saya tragedi seperti itu akan berlaku selepas negara mencapai kemerdekaan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Peristiwa Bukit Jenalik itu, katanya dapat dilihat oleh rakyat Malaysia sebagai satu insiden yang meletakkan pasukan keselamatan (tentera dan polis) di peringkat tertinggi dalam menjaga keamanan negara.

Mohd Zaini yang dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) atas keberanian dan sumbangannya menamatkan keganasan itu tanpa mempedulikan nyawa sendiri berharap agar peristiwa sedemikian tidak akan berulang lagi.

Pada masa sama, beliau meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang masih memandang rendah terhadap anggota tentera.

"Insiden ini berlaku pada tahun 2000 iaitu selepas 43 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, termasuk selepas semua ancaman komunis berakhir.

"Namun begitu terdapat segelintir masyarakat yang sekarang ini hidup selesa dalam keadaan negara yang aman damai tetapi masih melontarkan kata-kata yang menghina anggota tentera kita," luahnya.

'Ini negara luar biasa'

Katanya rakyat Malaysia perlu menghargai negara ini, kerana ada keluarbiasaan dan kelainan yang tidak ada di tempat lain dan perbezaan itu dapat diatasi dengan menggunakan akal fikiran yang waras.

"Negara ini aman cuma kena tingkatkan perpaduan kerana kita masyarakat majmuk. Hargai semua yang kita ada di negara ini kerana kalau berlaku pecah belah, ia akan mengambil dua atau tiga generasi untuk melupakan semuanya.

"Justeru, selepas 62 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, jangan pandang kemerdekaan lepas daripada penjajah, sebaliknya merdekalah dari segi pemikiran dan berusaha untuk masa hadapan dengan memandang lebih jauh demi kelangsungan negara," tegasnya.

Tragedi hitam itu juga turut mengorbankan dua anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi itu iaitu Detektif Kpl R Sanghadevan dari Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia serta seorang anggota komando Grup Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia Truper Mathew Medan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS