Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Beyblade - yang menjadi kegilaan kanak-kanak sekarang - adalah mainan yang paling Taufik Iskandar sayang.

Dan benda yang paling dia sayang itu dia hadiahkan pada cikgu kesayangannya.

“Hadiah yang saya berikan ini adalah antara benda yang paling saya sayang.

“Jadi saya harap setiap kali cikgu melihatnya, cikgu akan ingat kepada saya,” luah pelajar darjah 3 Tekun itu dalam nota iringan bersama mainan asal Jepun itu.

Hadiah itu diberikan sempena hari terakhir khidmat Muhamad Nur Fitri Nor Azman sebagai guru sandaran di SK Sungai Telor di Kota Tinggi, Johor.

Si guru memuat naik gambar hadiah si cilik itu yang mendapat lebih tujuh ribu ulang ciap serta sembilan ribu tanda suka hasil kutipan sehingga hari ini.

Nota Taufik kepada cikgu Fitri

Ketika dihubungi Malaysiakini, cikgu berumur 23 tahun itu Muhamad Nur Fitri Nor Azman, mengaku sebak menerima hadiah itu.

“Pada mulanya saya buka hadiah itu dan saya perasan ada tulisan bersama hadiah (Beyblade) di dalam.

“Bila dibaca sebak saya dibuatnya.

“Dengan niat nak tunjukkan yang pelajar (Taufik) bagus dan berjiwa besar.

“Dia lain daripada yang lain sebab itu saya tangkap dan kongsi di Twitter,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beyblade diberikan itu dikenali sebagai Beylogger Plus dengan "god layer system".

Fitri bersama pelajar-pelajar 3 Tekun

Sementara itu, Fitri berkata dia tidak sangka terhadap gambar yang dikongsi itu menjadi tular.

“Reaksi saya mulanya luculah sebab pelajar ini tahu yang kita lelaki dewasa mana main dengan Beyblade. Saya tertanya juga kenapa budak nak bagi dekat saya.

“Bagi saya hadiah yang pelajar saya bagi semua menarik dan bermakna. Itu menandakan mereka menghargai kita. Cuma pemberian dari Taufik itu saja membuat saya tertarik,” katanya.

Fitri bersama tenaga pengajar lain SK Sungai Telor, Kota Tinggi

Fitri berkhidmat sebagai guru sandaran di sekolah itu kira-kira dua bulan, bermula 18 Julai, sementara menunggu penempatan. Perkhidmatannya tamat kelmarin.

Beliau lulusan Ijazah sarjana muda perguruan dengan kepujian (pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua pendidikan rendah) dari Institusi Pendidikan Guru, Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur.

 

Fitri sebelum ini pernah mengajar tiga bulan di SK Bandar Kiara dan empat bulan di SK Sungai Wei dalam subjek Bahasa Inggeris.

Fitri bersama guru besar Juraimi Mohd Said

Lihat Komen
ADS