Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS tuntut rumah transit, ‘rakyat bukan itik’

PAS Sungai Buloh menuntut rumah transit disediakan untuk penduduk Sungai Kedondong, Paya Jaras yang dibina di atas tanah rizab kerajaan Selangor.

"Kami bukan mempertahankan penduduk untuk terus menduduki tanah rizab ini, cuma yang kami pertikaikan sekarang dari segi kemanusian.

"Rumah mereka yang dirobohkan itu (diduduki) manusia, bukan itik. Kalau itik sekalipun, kalau tuan dia nak halau dia atau nak pindahkan itiknya, dia kena siapkan reban baru. Baru boleh.

"Ini tidak. Kerajaan seolah-olah tak ada perancangan. Sepatutnya mesti ada rumah transit disediakan," kata Yang Dipertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad pada sidang media di Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh, hari ini.

Sisa-sisa perobohan semalam

Difahamkan kerajaan negeri mahu merobohkan rumah di kampung itu untuk projek pelebaran Sungai Kedondong di Paya Jaras Hilir bagi mengelakkan banjir kilat yang sering berlaku.

Semalam, lebih 30 daripada 74 buah rumah di kawasan itu dirobohkan.

Zaharudin juga meminta kerajaan menangguhkan perobohan itu sehingga anak-anak penduduk menduduki peperiksaan, seperti SPM dan PT3, November ini.

Notis roboh: Pembangkang kata tiada, ADUN kata ada

Rizam Ismail 

Sementara itu, Ketua Pembangkang Selangor Rizam Ismail pula mendakwa sebahagian rumah yang telah dirobohkan itu dibuat tanpa notis.

“Saya berasa simpati kepada penduduk Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh ini selepas tindakan kerajaan negeri merobohkan rumah mereka tanpa ada notis pemberitahuan diberikan.

“Makluman awal yang saya terima ialah perbincangan antara pihak kerajaan negeri dan wakil penduduk telah bersetuju untuk menangguhkan proses perobohan rumah ini sehingga November 2019.

“Perkara ini selepas mengambil kira rayuan penduduk yang mempunyai anak yang akan menghadapi peperiksaan besar tahun ini seperti UPSR, PSRA, PT3, SPM dan STPM,” katanya.

Khairuddin Othman 

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman bagaimanapun semalam dilaporkan berkata prosedur perobohan semalam ditetapkan dengan penyerahan notis awal kepada penduduk terlibat.

Katanya, penduduk terlibat telah menerima notis pertama sejak tahun 2015, lapor sebuah akhbar semalam.

Tawaran rumah Rumah Selangorku tanpa perlu menunggu giliran juga diberikan pada mereka melalui surat 2 Ogos lalu, katanya lagi.

Mohd Khairuddin juga berkata, notis perobohan dikeluarkan beberapa hari kemudian dengan tempoh selama 30 hari supaya penduduk mencari rumah sewa lain.

Lihat Komen
ADS