Sebanyak enam premis makanan di daerah ini diarahkan tutup selama 14 hari oleh Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk beroperasi dalam keadaan kotor.
Arahan penutupan sementara itu dikeluarkan dalam operasi mengejut selama tiga jam bermula 9 malam semalam dan berakhir 12 malam tadi, dilakukan ke atas 25 premis makanan di daerah ini yang disertai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Veerapan berkata kesemua enam premis berkenaan telah diarah ditutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan menegaskan jumlah berkenaan menjadikan keseluruhan 5,487 premis makanan diarah ditutup bagi tempoh Januari hingga 15 Sept lepas.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada suntikan pengendali makanan, tiada kursus latihan makanan, tidak memakai aksesori tangan, tidak memakai apron dan topi, lantai tempat memasak yang tidak bersih, barang makanan tidak dibungkus sebelum disimpan serta peralatan memasak tidak bersih,” katanya di Seremban.
Selain itu, sebanyak 82 notis yang boleh dikompaun di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dikeluarkan dengan jumlah keseluruhan kompaun bernilai RM22,100, menjadikan jumlah keseluruhan notis yang dikeluarkan dari Januari hingga 15 Sept lepas sebanyak 1,384 notis membabitkan nilai keseluruhan RM385,000.
Veerapan berkata untuk rekod tahun lepas, sebanyak 6,662 premis makanan telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 109 daripadanya diarahkan ditutup sementara di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 manakala sebanyak 1,178 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan dengan nilai kompaun bernilai RM220,200.
Terdahulu, operasi itu disertai seramai 61 pegawai daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban, Rembau, Tampin, Port Dickson, Jelebu, Kuala Pilah dan Jempol.
-Bernama
