Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Siswi Uitm cicir wang saku terharu dibantu pemandu e-kelui

Berderaian air mata seorang siswi Universiti Teknologi Mara (Uitm), Ninie Kamarudin, 19 tahun apabila memikirkan wang saku berjumlah RM50 tercicir di sebuah pasar raya, tambahan pula, itu sahaja duit yang dia ada namun rezeki tidak berpihak padanya.

Siapa sangka, muncul seorang insan yang bekerja sebagai pemandu e-hailing, MyCar, Yew Ah Tat, 45 tahun membantu saat Ninie ditimpa kesusahan.

Meskipun berbeza latarbelakang dan budaya, namun, itu bukan penghalang bagi Ah Tat membantu atas dasar perikemanusiaan dan hubungan ibarat ‘ayah’ dan ‘anak’.

"Tak kira bangsa (dan) agama, kita (harus) saling bantu-membantu. Memang hari itu saya beri tambang percuma. Saya tanya, dia cakap belum makan, saya pun belikan makan," katanya yang bekerja di bawah syarikat e-hailing tempatan di sekitar Lembah Klang dan Shah Alam.

Ah Tat berkata, dia sedar wang yang tercicir itu adalah belanja seminggu untuk Ninie justeru dia memberikan wang miliknya sebagai ganti kepada pelajar jurusan undang-Undang itu.

"Hari itu Jumaat. Saya beri lagi RM40 wang saku. Itu duit belanja untuk satu minggu sudah hilang macam mana," katanya semasa majlis penyerahan wang ganjaran kepada Ah Tat dan Ninie oleh pengurus operasi pemanduan di Ibu pejabat MyCar, di Setia Alam, hari ini.

Disoal mengenai isu perkauman yang dimuatkan di dada-dada akhbar, Ah Tat percaya isu itu hanya drama politik semata-mata.

"Di antara kaum kita memang tidak ada masalah pun. Jangan sesekali mengambil kita punya bangsa agama untuk dipolitikkan.

"Saya tolong ini sebab saya ikhlas. Saya tak kira jumpa Cina, Melayu, India semua sama saya tolong. Saya tolong tak tengok siapa pun, tak kisah," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Ninie mengingatkan masyarakat untuk tidak sesekali berasa takut berbuat baik dan jangan bersifat kedekut.

"Kalau rasa ada kemampuan untuk buat baik, buat saja. Jangan pernah rasa takut, kedekut atau takut nak berbuat baik.

"Saya tak rasa ada isu perkauman. Bila dah tular ini, saya boleh nampak sebenarnya bangsa-bangsa di Malaysia ini semua bersatu, cuma politik yang memisahkan," katanya.

Pada 13 September lalu, tular di media sosial apabila Ninie sendiri berkicau di laman Twitternya berkata dia kehilangan wang saku di sebuah pasar raya.

Ketika hendak pulang ke rumah, dua rakannya membantu Ninie memberikan sedikit wang dan menempah perkhidmatan MyCar berharga RM12.90.

Ketika kenderaan itu sampai, Ninie masuk ke dalam kereta tersebut dan pemandu (Ah Tat) menegurnya kerana kelihatan sedih. Ninie menceritakan semua yang berlaku.

Selepas itu, pemandu memberikan perkhidmatan percuma dengan menghantarnya pulang ke rumah. Sebelum itu, malah Ah Tat singgah membelikan makanan untuk Ninie serta menghulurkan bantuan wang saku berjumlah RM40.

 

Lihat Komen
ADS