Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengkritik ECRL boleh runding dengan China, sindir PM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak cadangan agar kontrak bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan China ditangguhkan.

"Mereka (pengkritik projek) boleh berunding (sendiri). Jika mereka sanggup berunding dengan orang Cina dan beritahu saya bahawa (orang Cina) akan gantung (projek itu), saya akan ikut," kata Mahathir selepas melancarkan Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air di Kuala Lumpur.

Mahathir berkata demikian ketika ditanya berhubung cadangan Penasihat Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Prof Jomo Kwame Sundaram agar kerajaan menangguhkan projek itu susulan keterangan yang timbul pada perbicaraan rasuah melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazrudin baru-baru ini memberitahu mahkamah bahawa projek ECRL adalah antara projek yang dirancang untuk menyelamatkan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Jomo memberitahu sebuah forum semalam bahawa projek bernilai RM44 bilion itu adalah "penipuan" dan Presiden China, Xi Jinping tidak mahu dikaitkan dengan rasuah antarabangsa.

Mahathir mendakwa bahawa Jomo, yang pernah berkhidmat dalam Majlis Penasihat Kerajaan hanya menyatakan pendapat peribadi.

"Itu pendapatnya. Tetapi kerajaan China tidak beritahu kita apa-apa.

"Ini mungkin (dilakukan untuk selamatkan 1MDB) tapi kita ada kontrak untuk bangunkan dan membinanya. Seperti yang kamu tahu, kita telah kurangkan skop dan kos," kata Mahathir.

Projek ECRL dilancarkan semula oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) Julai lalu dengan laluan berbeza dan pada kos sebanyak RM44 bilion, hampir separuh daripada kos awal sebanyak RM81 bilion.

Sebelum perbicaraan, Najib menafikan tuduhan bahawa ECRL dan projek-projek lain yang dikontrakkan kepada firma-firma China bertujuan untuk menyelamatkan 1MDB yang bermasalah.

Lihat Komen
ADS