Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Koperasi dapat bantu golongan B40 tangani peningkatan sara hidup

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan gerakan koperasi mempunyai kuasa dalam menentukan harga barangan keperluan asas.

Katanya, jika dimanfaatkan, koperasi mampu memainkan peranan dalam membantu golongan berpendapatan rendah (B40) menghadapi peningkatan kos sara hidup.

"Gerakan Koperasi sebenarnya boleh memainkan peranan besar dalam membantu golongan B40 (berpendapatan terendah) di bandar dan juga luar bandar bagi menangani peningkatan kos sara hidup," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Gerakan koperasi Sempena 100 Tahun pada 2022 di Tamarind Square, Cyberjaya.

Majlis itu dihadiri oleh kira-kira 20,000 ahli Gerakan Koperasi yang hadir.

Ulas beliau, sumbangan koperasi harus dilihat dari aspek peningkatan kuasa beli rakyat yang membawa kepada kemakmuran bersama, bukan hanya mengikut Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK).

Mengambil contoh di Jepun, apabila koperasi Japanese Consumer Co-operative Union (JCCU) bukan sekadar menguasai segmen pasaran dengan membekalkan barangan keperluan harian tetapi mampu menawarkan persekitaran yang lestari kepada komuniti setempat.

JCCU merupakan gabungan 320 koperasi pengguna dan dianggotai oleh 29 juta anggota.

"Koperasi merupakan salah satu model keusahawanan sosial yang tidak menjadikan keuntungan sebagai matlamat utama sebaliknya memberi manfaat dan kesejahteraan kepada anggota dan masyarakat," katanya lagi.

Justeru, Dr Mahathir mengalu-alukan pelaksanaan program Barang Asas 100 (BA 100) dalam sektor pemborongan dan peruncitan seperti yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 29 Ogos 2019 baru-baru ini.

Program itu merupakan anjuran bersama Kementerian Pembangunan Usahawan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad.

Katanya, program yang berteraskan e-dagang itu akan mengumpulkan belian barang asas secara pukal mengikut permintaan (demand-driven) oleh lebih kurang 3,000 koperasi runcit di seluruh negara.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar koperasi Malaysia yang mencecah angka 14,237 melibatkan 6.1 juta ahli, boleh bergabung untuk menceburi bidang baharu dan mengembangkan aktiviti sedia ada untuk menguasai pasaran yang lebih luas.

Kurangkan peranan orang tengah

Sementara itu, mengulas tentang BA100, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof berkata program itu juga akan mengurangkan peranan orang tengah dalam rantaian nilai terhadap 100 barang asas berkenaan.

"Contoh kalau sayur dibeli di kebun di Cameron Highlands, katalah (harganya) RM1, tapi 1km dari situ harganya jadi RM7, tiga-empat lapisan baru sampai ke peringkat pembeli.

"Jadi kita nak kurangkan peranan orang-orang ketiga ni untuk menstabilkan harga barang-barang asas yang kita sebut ni.

"Jadi ini akan memanfaatkan rakyat seluruhnya," katanya dalam sidang media selepas majlis tamat.

Lihat Komen
ADS