Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lima syarikat di Kedah diberi AP import sisa plastik
Diterbitkan:  Sep 22, 2019 4:29 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan bahawa sehingga 21 Sept, terdapat lima syarikat di Kedah yang diberikan permit import (AP) untuk mengimport sisa plastik.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan menyatakan AP itu dikeluarkan oleh kementerian.

Syarikat berkenaan adalah Plasticycle Industries Kulim, GC Plastic Kulim, YB Enterprise Kulim, Technology PP Industries (Utara) Sungai Petani, Green Mark Technology Sungai Petani.

"Kesemua syarikat tersebut mempunyai surat pematuhan premis daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS)," kata jabatan itu.

Bagaimanapun, kelulusan AP (dalam sistem ePermit) untuk Technology PP Industries (Utara) telah digantung, kata jabatan itu.

"Ia telah digantung oleh KPKT sementara menunggu pihak syarikat memperbaharui lesen perniagaannya dari Majlis Perbandaran Sungai Petani," katanya.

Jabatan berkenaan merujuk kepada dua demonstrasi - di Sungai Petani dan Alor Setar, Kedah - yang diadakan oleh kumpulan penduduk bagi membantah sebuah syarikat yang mengimport sisa yang didakwa mereka telah mencemarkan kawasan perumahan mereka dengan operasi "siang dan malam".

Mereka menuntut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menjelaskan status pemegang AP dalam kalangan syarikat mengimport sisa, salah satunya ialah Green Alliance Ecotech.

Bagaimanapun, Green Alliance Ecotech tidak diberikan AP oleh kementerian itu, kata jabatan berkenaan.

"Sekiranya syarikat beroperasi tanpa lesen perniagaan, pihak berkuasa tempatan hendaklah melaksanakan penguatkuasaan seperti menutup operasi premis-premis tersebut," kata jabatan tersebut.

Kini terdapat enam syarikat kitar semula di Kedah yang memohon permit untuk memulakan operasi.

Jabatan itu berkata Kedah sedang menimbangkan enam permohonan itu tetapi kelulusan masih menunggu pengesahan dan penelitian oleh agensi teknikal seperti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja.

"Jika ia diluluskan oleh kerajaan Kedah, syarikat-syarikat itu hanya dibenarkan beroperasi di kawasan zon perindustrian yang ditetapkan," katanya.

Lihat Komen
ADS