Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam: Kesan luka tak konsisten dakwaan mati akibat tembak-menembak
Diterbitkan:  Sep 22, 2019 5:19 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

Kesan tembakan pada tiga individu yang maut ditembak polis pada 14 September lalu tidak konsisten dengan dakwaan bahawa mereka mati dalam kejadian tembak-menembak, kata peguam P Uthayakumar.

Dalam surat kepada Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador hari ini, beliau berkata sijil kematian menunjukkan ketiga-tiganya ditembak di dada.

Salah seorang yang mati - G Thavaselvam - turut ditembak di muka.

Uthayakumar mewakili seorang lagi yang mati, V Janarthanan, dan G Moganambal yang kini hilang.

Beliau berkata anak guamnya mempersoalkan mengapa tiada kesan tembakan pada kaki jika benar polis tidak "menembak dengan tujuan membunuh" (shoot to kill).

"Selain itu ada kesan lebam pada kepala dan badan Thavaselvan. Tangannya patah dan satu giginya tercabut.

"Ini dimaklumkan oleh balu (Thavaselvan) pagi ini selepas memeriksa badannya," katanya yang turut mewakili balu Thavaselvan, Jasminder Kaur.

Oleh itu, katanya lagi, Muhyiddin dan Hamid perlu memberi penjelasan terhadap luka yang ditemui pada badan si mati.

Sementara itu, Uthayakumar juga berkata pihak berkuasa perlu menjawab permintaan anak guamnya untuk mendapat akses kepada semua laporan rasmi berkenaan perkara itu.

Ini termasuklah rakaman kamera papan pemuka (dashboard) polis, laporan maklumat pertama, keterangan saksi oleh anggota polis yang terlibat dalam kejadian itu serta laporan post-mortem.

Uthayakumar berkata polis perlu memberi akses itu kerana ada risiko dokumen tersebut akan dipinda.

"Balasan dan perhatian segera pihak tan sri dalam perkara ini dan juga permintaan segera kami untuk temu janji dengan IPG sangat dihargai," katanya dalam surat itu.

Thavaselvam, Janarthanan dan S Maghendran mati ditembak pada awal pagi di Rawang, Selangor, pada 14 September lalu.

Polis mendakwa ketiga-tiganya adalah suspek kes samun, dan berlaku insiden kejar-mengejar diikuti dengan tembak-menembak, dan pihaknya hanya melepaskan tembakan sebagai tindak balas.

Keluarga mereka yang mati pula mendakwa Moganambal bersama tiga individu itu pada malam tersebut dan kini hilang.

Janarthanan - seorang warga Sri Lanka - dan Moganambal merupakan pasangan yang tinggal di United Kingdom dan berkunjung ke Malaysia bersama tiga anak mereka.

Moganambal danThavaselvam adalah adik-beradik.

Sementara itu, Kumpulan Tindakan Masyarakat Mengenai Kehilangan Paksaan (Caged) mendesak polis memberi respons kepada video yang dibuat bapa kepada Moganambal danThavaselvam, berkenaan kejadian itu.

Dalam kenyataan hari ini, Caged berkata bapa dua beradik itu, Govindasamy, dalam video itu mendakwa kematian Thavaselvam dan kematian Moganambal ada kaitan dengan kehilangan individu bernama A Sivaguru pada 2016.

Sivaguru hilang di Jeli Kelantan secara misteri dan polis tidak banyak mendedahkan maklumat berkenaan perkara itu.

Gonvindasamy antara lain mendakwa "Sivaguru terlibat dengan pembunuhan Thavaselvan, Mahendran dan Janarthanan"

Justeru Caged menggesa polis memanggil Govindasamy untuk soal siasat.

"Kami menggesa IGP untuk menyoal siasat Govindasamy dan mengikut semua petunjuk untuk mengesahkan atau menafikan syak wasangka orang awam bahawa polis digunakan untuk melakukan penculikan dan pembunuhan di Malaysia," kata Caged.

Caged adalah kumpulan pendesak yang ditubuh susulan dakwaan kehilangan paksa aktivis Amri Che Mat dan paderi Raymond Koh.

Lihat Komen
ADS