Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jerebu: Ribuan pelancong China batal percutian ke Malaysia
Diterbitkan:  Sep 23, 2019 11:44 AM
Dikemaskini: 3:44 AM

Ribuan pelancong China membatalkan percutian mereka di Malaysia dan memilih negara Asean lain ekoran fenomena jerebu melanda negara.

Lebih daripada 100 kumpulan pelancong, yang setiap satu merangkumi melebihi 30 pelancong, beralih ke Vietnam, Filipina dan Thailand, lapor portal The Malaysian Insight.

"Kesannya menjejaskan, walaupun sesetengah kumpulan pelancongan mempunyai masa yang cukup untuk membatalkan.

“Yang lain tidak begitu bernasib baik, dan mereka perlu meneruskan lawatan dengan pelancong yang mengadu," kata Presiden Malaysia Inbound Chinese Association (Mica) Angie Ng

Ng menambah bahawa 70 hingga 70 agensi pelancongan terjejas dengan penurunan perniagaan sebanyak 20 peratus disebabkan pembatalan.

Beliau menyatakan bahawa majoriti destinasi popular di Malaysia adalah tarikan luar, manakala tarikan dalaman seperti Menara KL turut gagal dalam tujuan penarikan pelancong kerana pandangan 360 darjah bandar diliputi oleh jerebu.

Jabatan Meteorologi menjangkakan kualiti udara di negara akan meningkat mulai esok semasa fasa peralihan monsun, tetapi ia memberi amaran kepada ribut petir dan banjir kilat.

Keadaan jerebu yang buruk mengakibatkan ribuan sekolah ditutup di seluruh negara.

Di Indonesia, polis telah menahan 230 individu disyaki memulakan kebakaran yang mencetuskan jerebu.

Pihak penguat kuasa Indonesia juga telah menyita tanah milik sekurang-kurangnya 49 syarikat perladangan pada minggu lepas untuk siasatan selepas kebakaran ditemui di tanah mereka.

Satelit milik agensi mitigasi bencana Indonesia mengenal pasti 2,729 titik panas di seluruh negara tersebut, mengatakan bahawa 99 peratus daripada titik panas itu disebabkan oleh pembakaran yang sengaja.

Pihak berkuasa Indonesia telah mengerahkan lebih 9,000 orang untuk mengawal kebakaran, yang telah merosakkan lebih daripada 328,700 hektar tanah di seluruh negara.

Sementara itu, portal tersebut juga melaporkan bahawa firma perkhidmatan udara swasta telah mengumpul dana untuk operasi pembenihan awan dan menjalankannya minggu lepas di Klang, Petaling Jaya, dan Kuala Lumpur.

Lihat Komen
ADS