Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 Prof Dr Siti Zainon Ismail baru-baru ini menyuarakan harapannya agar pelajar mendapat lebih banyak akses kepada bahan sastera.

Beliau berkata ia agar sastera membudaya di kalangan golongan muda yang bakal memimpin negara.

"Kita perlukan penerus (pewaris) generasi supaya generasi kita yang bakal menjadi pemimpin tahu apa maknanya susastera, iaitu sastera yang indah, penuh adab dan penuh akal fikiran," katanya.

Menyahut seruan itu, penyair Pyanhabib Rahman berkata ia boleh direalisasikan dengan pihak sekolah lebih giat menggerakkan kegiatan sastera di sekolah.

“Saya sudah sejak tahun 80-an dijemput baca puisi di sekolah, tiada masalah tinggal hanya pihak sekolah perlu lebih berusaha,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya, sastera patut diwajibkan bermula di peringkat rendah dan dianggap sama penting dengan Matematik dan Sains.

"Bermula daripada sekolah rendah dengan sastera yang 'ringan'. Ajar murid untuk berangan-angan kerana angan-angan bukan milik Mat Jenin," katanya sambil menambah sastera dapat membentuk budi pelajar agar menjadi "manusia budiman, takut berbuat jahat atau menipu orang".

Pyanhabib

Pada masa ini, pembelajaran sastera di sekolah dijalankan menerusi Komponen Sastera - atau Komsas - dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Diperkenalkan pada 2001, ia bagaimanapun hanya untuk pelajar sekolah menengah dengan setiap tingkatan perlu mempelajari sebuah novel dan sebuah antologi - yang merangkumi beberapa genre iaitu puisi moden dan klasik, cerpen, teks klasik dan drama.

Guru Bahasa Melayu pula memberitahu Malaysiakini berkenaan cabaran untuk memupuk minat pelajar terhadap sastera dan cara yang mungkin dapat memperbaiki keadaan itu.

Nooraihan Md Nasir

Bagi Nooraihan Md Nasir yang mengajar di sebuah sekolah di Selangor, bahan sastera di perpustakaan sesetengah sekolah tidak mencukupi.

“Perpustakaan tiada bahan bacaan lengkap tentang sastera, tetapi pelajar pun kini susah nak membaca,” katanya.

Pada masa sama dia berkata penekanan terhadap mata pelajaran yang dianggap lebih penting - seperti Sains dan Matematik - merupakan halangan utama.

"Mereka tidak ambil kisah sangat, fokus kepada mata pelajaran penting. Pelajar juga mungkin kurang faham bahasa yang digunakan (dalam teks sastera)," katanya lagi.

'Biar lebih pop'

Dia mencadangkan koloberasi antara sasterawan dengan penggiat seni popular yang menurutnya akan menjadikan sastera lebih menarik di mata pelajar.

"Jika peranan sasterawan boleh digabungkan dengan penggiat seni. Misalnya dalam iklan, sebarang mesej boleh turut menyelitkan unsur sastera.

"Pelajar kini kerap menonton TV dan menggunakan media sosial, maka sasterawan perlu dekatkan diri dengan mereka menerusi medium ini," katanya lagi.

Surizan

Seorang lagi guru Bahasa Melayu, Surizan Hassan turut menyuarakan sentimen sama, iaitu sastera perlu menggunakan pendekatan yang selari dengan minat pelajar untuk "membeli jiwa" mereka.

Berkecimpung dalam dunia pendidikan selama 14 tahun, Surizan berkata pelajar merasakan pantun dan puisi menggunakan bahasa yang "terlalu berkias dan sukar difahami".

"Jadi untuk beli jiwa mereka, mungkin kena ubah penampilan yang lebih dekat dengan mereka," katanya.

Lihat Komen
ADS