Paling Popular
Terkini

Seperti kebanyakan ibu bapa, segala-galanya dilakukan Aisha Othman untuk anak perempuan berusia tujuh tahun, Paymitra Abdullah.

Bersama suami dan anak, mereka tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang PPR dan hidup bergantung kepada gaji bulanan suami Aisha sebanyak RM1,500 sebagai pengawal keselamatan di Cheras.

Bagaimanapun, Aisha berkata, keluarganya perlu membayar bil dan sewa, selain menjelaskan sewa ibu mentuanya yang tertunggak hampir RM5,000.

"Selepas kami bayar bil, barulah kami boleh fokus nak makan apa.

"Biasanya lepas kami bayar semua bil, kami dah tak ada duit lagi," katanya yang menambah mereka hanya mampu membeli barangan runcit jika suaminya mempunyai kerja tetap.

Pada satu ketika, Aisha tidak menjamah makanan selain makan beras yang tidak dimasak selama tiga hari bagi menjimatkan duit untuk membeli roti buat Paymitra.

"Ada beras dekat rumah jadi saya hanya makan beras. Bukan nasi tapi beras yang belum dimasak dan juga ketulan ais.

"Saya takut gas masak akan habis (jika masak nasi).

"Kalau saya terlalu lapar, saya akan makan ketulan ais," kata Aishah.

Kisah Aisha dan Paymitra dipaparkan dalam dokumentari selama 20 minit bertajuk "For Paymitra" yang ditayangkan pada Freedom Film Festival 2019 (FFF 2019)

Pengarahnya, Azreen Madzlan mendapat inspirasi untuk membuat filem mengenai perjuangan keluarga yang tinggal di PPR selepas laporan Unicef ​​mendedahkan seorang daripada lima kanak-kanak yang tinggal di flat kos rendah di Kuala Lumpur mengalami kekurangan zat makanan.

Paymitra adalah salah seorang daripada mereka yang mengalami kurang berat badan dan kekurangan zat makanan.

Di penghujung filem, dengan bantuan dari Azreen, pegawai dari pusat khidmat Anggota Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad telah dimaklumkan mengenai nasib Aisha

Beberapa keperluan makanan asas diberikan kepada keluarga itu beserta maklumat mengenai program-program kebajikan yang layak mereka peroleh.

Aisha juga berjaya mendapat kerja di sebuah kedai runcit di Wangsa Maju untuk menambah pendapatan keluarganya.

Kisah Aisha dan Paymitra dipaparkan dalam satu daripada tiga filem dokumentari berkisar mengenai kemiskinan dan kenaikan kos sara hidup yang ditayangkan di PPR Lembah Subang 2 malam tadi.

Tayangan khas itu dianjurkan oleh FFF 2019 dengan kerjasama pejabat Anggota Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah. Maria turut hadir pada acara itu

Baki akaun bank kosong lepas keluar RM50

Filem kedua bertajuk "Pengidup Aku" memfokuskan kepada kisah Tonny Anak Iman, yang bekerja sebagai pekerja pembinaan di Dalat, Sarawak.

Tonny terpaksa meninggalkan anaknya di rumah panjang di kampungnya di sebuah kawasan pedalaman, kira-kira dua jam perjalanan menaiki bot, supaya dia boleh bekerja untuk menyara anaknya.

Walaupun begitu, dia hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM60 sehari.

"(Akaun bank saya) kosong lepas keluarkan RM50," kata Tonny selepas mengeluarkan wang dari mesin ATM.

Dokumentari itu mengisahkan Tonny membuat persiapan untuk menyambut perayaan Gawai di mana dia berpeluang menghabiskan masa bersama anaknya.

Selepas sambutan Gawai di kampung, Tonny terpaksa meninggalkan semula anaknya kerana perlu pulang ke bandar untuk bekerja.

'Bila kami bersatu'

Dokumentari ketiga "Bila Kami Bersatu" memaparkan kisah perjuangan kesatuan sekerja bagi pekerja pembersihan hospital.

Terdapat lebih 50,000 pekerja perkhidmatan di hospital-hospital kerajaan di Semenanjung Malaysia dan kebanyakan mereka adalah tukang cuci, menurut dokumentari berkenaan.

Filem ini mengisahkan usaha kesatuan cuba berunding dengan majikan terhadap lebih 43 tuntutan untuk dimasukkan ke Perjanjian Kolektif (CA).

Salah satu permintaan yang paling penting bagi pekerja terbabit termasuk kenaikan gaji, yang merupakan kadar rata sebanyak RM1,100 sebulan tanpa mengira pengalaman.

Selepas rundingan dengan majikan, 28 daripada 43 tuntutan mereka telah diterima, namun kenaikan gaji ditolak oleh majikan.

PSM membangkitkan isu itu pada akhir Ogos tahun ini.

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan berkata pekerja pembersihan di hospital-hospital kerajaan menerima gaji minimum RM1,100 tanpa mengira tahun perkhidmatan mereka.

"Bila saya tanya kepada orang yang paling kanan dalam kumpulan yang telah bekerja selama 30 tahun, jawapan yang mengejutkan adalah gajinya juga RM1,100.

"Mari kita bandingkan pendapatan sehari CEO dengan pendapatan bulanan tukang cuci kita di hospital kerajaan.

"Tukang cuci ambil masa hampir enam tahun untuk mendapatkan satu hari gaji Ketua Pegawai Eksekutif dan 174 tahun untuk mendapatkan satu bulan gaji CEO. Bukankah ini mengejutkan?" Soal Arutchelvan.

Penyertaan dari penduduk PPR

Tayangan ketiga-tiga filem itu diadakan di PPR Lembah Subang 2 dan menyaksikan kira-kira 60 hadir, kebanyakannya kanak-kanak dan keluarga dari flat kos rendah berkenaan.

Selepas filem itu disiarkan, seorang pegawai dari pusat khidmat Adun Seri Setia Halimey Abu Bakar memberikan ceramah pendek menerangkan kepada penduduk PPR Lembah Subang 2 mengenai pelbagai program kebajikan yang mereka layak peroleh.

Mereka juga mengambil bahagian dalam sesi soal-jawab ringkas yang diadakan ketika tayangan dokumentari berkenaan dan bertanya soalan kepada pengarah yang turut hadir.

Acara malam itu berakhir dengan sesi cabutan bertuah di mana pemenang diberikan beberapa kampit beras.

Lihat Komen
ADS