Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari ke-13: 1MDB tak dapat kerjasama dari syarikat usaha sama Petrosaudi

LANGSUNG | Perbicaraan kes jenayah melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB memasuki hari ke-13 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawakan anda laporan perbicaraan ini secara langsung.


4.30 petang - Prosiding ditangguhkan dengan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi berhenti di halaman 129 dari 270 halaman Kenyataan Kesaksiannya.

Perbicaraan disambung semula pukul 9.30 pagi esok.


4.15 petang - Mahkamah dimaklumkan bahawa selepas 1MDB tidak dapat kerjasama daripada syarikat usahasama dengan Petrosaudi, syarikat itu memutuskan untuk menamatkan perjanjian 1MDB Petrosaudi Ltd (JV Co) mereka.

Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan bahawa keputusan itu telah dipersetujui oleh lembaga pengarahnya (BOD) dan Menteri Kewangan sebagai pemegang saham 1MDB.

Untuk rekod itu, menteri kewangan itu ialah Najib Abdul Razak, yang juga Perdana Menteri ketika itu.

Shahrol berkata bahawa BOD dan Najib memberi kelulusan rasmi untuk menjual saham 1MDB bernilai AS$1 bilion di JV Co menerusi resolusi pengarah bertarikh 22 Mac 2010.

Menurut Shahrol, PSI didakwa bersetuju untuk menukar pelaburan AS$1 bilion 1MDB menjadi wang tunai Murabaha bernilai AS$1.2 bilion, yang memberikan 1MDB keuntungan AS$ 200 juta.

"Bagaimanapun, perjanjian Murabaha juga mewajibkan 1MDB untuk melanggan nota tambahan AS$1 bilion," katanya.

Ditanya oleh DPP Gopal Sri Ram apa yang ertinya situasi itu kepada 1MDB, Shahrol memberi kesaksian bahawa Petrosaudi mempunyai kemampuan untuk meminta lebih banyak wang daripada 1MDB.

Gopal: Adakah itu berlaku?

Shahrol: Ya.

Gopal: Berapa banyak?

Shahrol: Di beberapa bahagian, berjumlah AS$830 juta.


3.50 petang: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB memberitahu mahkamah bahawa beliau menghadapi masalah untuk mendapatkan kerjasama daripada 1MDB Petrosaudi Ltd (JV Co), yang merupakan syarikat usaha sama 1MDB yang ditubuhkan dengan Petrosaudi.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata antara Oktober 2009 dan Feb 2010, beliau dan Pengarah Eksekutif 1MDB pada masa itu, Casey Tang telah cuba mendapatkan maklumat daripada JV Co untuk diserahkan kepada firma audit Ernst & Young.

Bagaimanapun, menurutnya mereka tidak boleh mendapatkan maklumat yang cukup dari syarikat itu kerana tidak mendapat kerjasama daripada Patrick Mahony dan Tarek Obaid.

"Mereka tidak berminat sedikit pun untuk melayan kami dan lebih cenderung untuk berkomunikasi dengan Jho Low," katanya ketika memberikan keterangan.

Shahrol berkata, beliau juga telah menghubungi Jho Low untuk mendapatkan bantuan.

Menurut saksi itu, beliau juga telah meminta Casey Tang mengaturkan mesyuarat lembaga pengarah JV Co tetapi ia tidak pernah berlaku.

Shahrol berkata, PSI, Jho Low dan Casey Tang pada awal tahun 2010 mencadangkan kepadanya agar menamatkan perjanjian JV Co.


Bakke letak jawatan sebagai pengarah 1MDB sebab tak berpuas hati usaha sama dengan Petrosaudi

3.42 petang: Bakke Salleh meletakkan jawatan sebagai pengarah 1MDB pada 19 Okt 2009, kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halim ketika memberikan keterangan di mahkamah hari ini.

Shahrol berkata peletakan jawatan itu berikutan rasa tidak puas hati Bakke dengan perkembangan terkini yang disediakan saksi ke-9 itu berhubung pengendalian usaha sama 1MDB-Petrosaudi terutamanya berkaitan pemindahan AS$ 700 juta.

"Tidak lama selepas itu, Bakke meletakkan jawatan sebagai pengarah 1MDB pada 19 Okt 2009.

"Saya tidak tahu sebab sebenar peletakan jawatan itu. Tetapi saya dapat merasakan kemungkinan beliau tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku dalam proses JV (usaha sama)," kata Shahrol.


1MDB pindahkan AS$700 juta pada Good Star Limited pada Sept 2009

3.10 petang: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB memberitahu mahkamah bahawa syarikat itu memindahkan sejumlah AS$ 1 bilion kepada dua akaun bank pada 30 Sept 2009 sebagai pelaburan dalam usaha sama dengan Petro Saudi.

Menurut Shahrol Azral Ibrahim Halmi, salah satu akaun itu adalah milik Good Star Ltd, yang menerima AS$ 700 juta, manakala selebihnya AS$ 300 juta dipindahkan ke akaun syarikat usaha sama 1MDB- Petrosaudi sendiri.

Saksi itu berkata beliau dimaklumkan oleh Jho Low bahawa akaun Good Star adalah milik Petrosaudi, dan bayaran itu adalah untuk pendahuluan tunai yang dibuat oleh Petrosaudi kepada syarikat usaha sama mereka.

"Ini bermakna Petrosaudi Cayman merupakan anak syarikat Petrosaudi (PSI), dan Petrosaudi Cayman berhutang kepada PSI melalui aset bernilai lebih USD1.5b.

"Oleh itu, mereka perlu membayar hutang itu kerana aset itu telah dijadikan ekuiti syarikat usaha sama.

"Saya boleh menerima penjelasan Jho Low kerana ia masuk akal, dan lebih-lebih lagi sijil saham juga menunjukkan bahawa syarikat JV (usaha sama) telah menerima AS$1 biion yang kita (1MDB) suntik melalui dua bahagian," kata Shahrol ketika memberikan keterangan.


1MDB tak pernah menandatangani perjanjian dengan Good Star Ltd, kata bekas CEO

2.53 petang: 1MDB tidak pernah memeterai sebarang perjanjian dengan syarikat berkaitan Jho Low - Good Star Limited, kata bekas CEO dana kekayaan berdaulat itu.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, semasa beliau memegang jawatan sebagai CEO 1MDB, syarikat itu tidak pernah mengadakan sebarang perjanjian dengan Good Star Limited.

Saksi kesembilan itu mengatakan beliau tidak tahu mengenai perjanjian pengurusan pelaburan yang dikatakan antara 1MDB dan Good Star Limited bertarikh 29 September 2009.

Tambahnya, beliau juga tidak pernah mengarahkan Casey Tang untuk menandatangani sebarang perjanjian dengan syarikat berkenaan.

"Saya juga ingin mengesahkan bahawa semasa saya memegang jawatan sebagai CEO 1MDB, tidak pernah ada sebarang transaksi (oleh 1MDB) dengan Good Star Limited.

"Saya juga mengesahkan bahawa perjanjian ini tidak pernah dibentangkan dalam mana-mana mesyuarat lembaga 1MDB. Saya mengesahkan saya tidak pernah melihat dokumen ini," kata Shahrol.


2.36 petang: Perbicaraan bersambung semula selepas waktu makan tengah hari.


12.46 tengah hari: Prosiding ditangguhkan pada waktu makan tengah hari dan pemeriksaan utama terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi itu akan disambung semula pada jam 2.30 petang ini.


12.30 tengah hari: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB memberitahu mahkamah bahawa Perdana Menteri Najib Razak telah memanggil pengerusi lembaga pengarah syarikat, Bakke Salleh, sebelum mesyuarat BOD pada 26 September 2009.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata Bakke, selepas menamatkan panggilan dengan Najib, memberitahu mesyuarat bahawa perdana menteri telah mengarahkan mereka mempercepatkan proses membuat keputusan dan meluluskan usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International (PSI).

Menurut beliau, Najib memberi arahan itu dengan menyebut bahawa keluarga diraja Saudi akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia di mana perjanjian usaha sama akan ditandatangani.

Beliau berkata BOD, selepas mendengar arahan Najib, kemudian merasakan mereka tidak harus melambatkan proses berkenaan agar tidak mengaibkan kerajaan.

Shahrol berkata beliau percaya Najib telah membuat panggilan itu atas nasihat Jho Low, kerana beliau sebelum itu memberitahu ahli perniagaan berkenaan mengenai keraguan yang dibangkitkan oleh ahli-ahli BOD 1MDB terhadap PSI pada mesyuarat terdahulu.

"Selepas kertas projek usaha sama dengan PSI dibentangkan oleh Casey Tang pada 18 Sept 2009, Tan Sri Bakke dan Tan Sri Azlan Zainol (Pengarah 1MDB ketika itu) seolah-olah tidak yakin dengan pelaburan ini.

"Mereka tidak yakin jika pelaburan ini kami lakukan dengan sebuah syarikat yang dimiliki oleh Arab Saudi atau tidak.

"Mereka juga mempersoalkan kegagalan usaha sama di mana 60 peratus datang daripada aset minyak PSI. Lembaga itu mahu mempunyai pemahaman yang lebih mendalam mengenai aset melalui penilaian bebas atau lawatan tapak.

"Tan Sri Bakke juga mahu wakil PSI datang sendiri untuk membentangkan usaha sama kepada lembaga pengarah," kata Shahrol.

Saksi itu berkata beliau kemudian memaklumkan Jho Low mengenai perkara itu dan memberitahu ahli perniagaan itu bahawa dia perlu melakukan sesuatu, termasuk datang ke mesyuarat BOD, untuk meyakinkan ahli-ahli lembaga pengarah mengenai usaha sama dengan PSI.

Shahrol berkata beliau bagaimanapun tidak tahu mengenai idea Najib memanggil Bakke, dan percaya Jho Low adalah orang yang meminta Najib berbuat demikian.


Najib tak pernah tanya sama ada telaga minyak di Argentina, Turkmenistan benar-benar wujud.

12.09 tengah hari: Bekas perdana menteri dan bekas Pengerusi Penasihat Lembaga 1MDB, Najib Razak tidak pernah bertanya bekas CEO Shahrol Azral Ibrahim Halmi sama ada benar-benar terdapat telaga minyak di Argentina dan Turkmenistan.

Saksi ke-9 itu memberitahu mahkamah ketika pemeriksaan utama yang dikendalikan timbalan pendakwa raya (DPP) Gopal Sri Ram.

Sri Ram bertanya Shahrol soalan itu berkaitan keterangan saksi berkenaan bahawa Edward L Morse dilantik oleh 1MDB untuk menilai aset-asetnya yang bernilai lebih AS $ 1.5 bilion daripada telaga minyak di kedua-dua negara.

Sri Ram: Sebagai pengerusi Lembaga Penasihat, adakah tertuduh (Najib) mengarahkan kamu pergi dan memeriksa sama ada telaga minyak di Argentina dan Turkmenistan wujud?

Shahrol: Tiada, dia tidak (arahkan).


Shahrol: Usaha sama 1MDB-PSI diserahkan kepada Casey Tang

12.05 tengah hari - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB berkata beliau menyerahkan tanggungjawab untuk berurusan dengan Petrosaudi International (PSI) bagi usaha sama dengan syarikat itu kepada Casey Tang atas cadangan Jho Low.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata 1MDB tidak mempunyai sesiapa yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam mengendalikan kewangan, termasuk perkara berkaitan penjanaan dana dan struktur korporat.

Saksi itu berkata beliau juga percaya Casey Tang, yang dikatakannya sangat rapat dengan Jho Low, sebagai orang yang terlibat dalam Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) sebelum ditukar menjadi 1MDB dan bahkan sebelum Shahrol menyertai syarikat itu.

Shahrol berkata beliau juga percaya Jho Low lebih selesa dengan Casey mengendalikan usaha sama itu dengan Petrosaudi kerana mereka mengenali satu sama lain untuk masa yang lama dan Tang lebih berpengalaman dalam perkara korporat.


Idea usaha sama 1MDB-PetroSaudi timbul semasa percutian menggunakan kapal layar di Perancis

12 tengah hari: Mahkamah diberitahu bahawa idea usaha sama antara 1MDB dan Petrosaudi International timbul ketika Najib Razak sedang bercuti bersama Putera Turki Abdullah di atas kapal layar (gambar bawah) pada Ogos 2009.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam keterangannya berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Jho Low.

Jho Low memberitahu Shahrol bahawa dia juga ada ketika perbincangan itu berlaku.

"Jho Low juga memaklumkan kepada saya bahawa sebelum perbincangan, Datuk Seri Najib telah bertemu dengan Raja Abdullah (dari Arab Saudi) dan kedua-dua pemimpin bersetuju membentuk usaha sama bernilai AS$ 2.5bil sebagai pelaburan kedua-dua negara," ujarnya.


Najib dan Jho Low ada hubungan simbiotik

Bekas perdana menteri Najib Razak dan ahli perniagaan yang dikehendaki Jho Low mempunyai hubungan simbiotik, kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika memberikan keterangan di mahkamah hari ini.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Gopal Sri Ram, saksi ke-9 itu berkata itulah yang terlintas dalam fikirannya mengenai hubungan antara kedua-dua individu itu antara tahun 2009 dan 2010.

Sri Ram: Apa yang terlintas dalam fikiran kamu daripada hubungan tertuduh (Najib) dan Jho Low?

Shahrol: hubungan itu simbiotik dalam erti kata bahawa Jho (Low) melaksanakan apa yang Najib mahu dan peranan Najib adalah untuk meluluskan keputusan yang diperlukan bukan sahaja oleh syarikat itu tetapi juga jentera kerajaan.


Audit dedahkan AS$ 700 juta dialih ke syarikat Jho Low - Shahrol

10.50 pagi: Audit mendedahkan bahawa AS$ 700 juta daripada AS $1 bilion untuk usaha sama 1MDB-Petro Saudi telah dialihkan kepada syarikat Jho Low, Good Star Limited.

Bekas Ketua Pegawai 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu perkara itu kepada  DPP Gopal Sri Ram semasa pemeriksaan utama.

Shahrol berkata pada tahun 2010, Lembaga Penasihat 1MDB membuat keputusan bahawa tiada keperluan untuk usaha wajar (due diligence) atau pengauditan dijalankan oleh Ketua Audit Negara terhadap dana kekayaan berdaulat negara itu.

Gopal: Apa yang akan didedahkan audit?

Shahrol: Audit pada masa itu (2010) telah mendedahkan bahawa kami telah melabur AS$ 1 bilion dengan Petro Saudi International, tetapi AS$ 300 juta pergi ke syarikat usaha sama (antara 1MDB dan Petro-Saudi) manakala AS $ 700 juta kepada syarikat lain yang dikatakan dimiliki oleh BSI, iaitu Good Star Limited.

Good Star sebelum ini dilaporkan didakwa dimiliki oleh ahli perniagaan yang dikehendaki, Jho Low.


Jho Low beritahu Shahrol tidak perlu audit 1MDB pada tahun 2009

10.40 pagi: Bekas CEO 1MDB memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menulis surat kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak pada Disember 2009, menyatakan tiada keperluan untuk melakukan audit ke atas syarikat berkenaan.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam keterangannya berkata beliau dinasihatkan oleh Jho Low untuk menulis surat kepada Najib dan salinannya kepada Ketua Audit Negara, Ambrin Buang.

Menurut Shahrol, sebelum menulis surat itu, pengurusan 1MDB menerima maklumat yang Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) mahu usaha wajar (due diligence) dilakukan pada 1MDB berikutan pemindahan sahamnya daripada kerajaan negeri Terengganu kepada MOF Inc.

"Seperti biasa, saya memaklumkan perkembangan terkini kepada Jho Low, dan dia kembali kepada saya mengatakan bahawa audit atau due diligence oleh Jabatan Audit boleh mengundang risiko politik kepada Datuk Seri Najib."

Menurut Shahrol, beliau kemudian meminta arahan Najib untuk tindakan seterusnya menerusi Jho Low.

Saksi itu mengatakan bahawa dia kemudian diberitahu tiada keperluan untuk menjalankan audit terhadap 1MDB kerana syarikat itu telah melantik (firma perakaunan) Earnst dan Young, dan laporan audit akan dikemukakan kepada MOF Inc sebaik sahaja ia siap.

Menjawab satu soalan dari DPP Gopal Sri Ram, Shahrol memberi keterangan bahawa selepas dia menghantar surat itu kepada Najib, tidak ada reaksi buruk dari perdana menteri itu untuk mencabar kandungannya.


Saksi: Jho Low cara yang 'jauh lebih berkesan' untuk dapatkan Najib

10.30 pagi: Bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan bahawa adalah "jauh lebih berkesan" baginya mendekati ahli perniagaan Low Taek Jho bagi menghubungi perdana menteri Najib Razak.

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh DPP Gopal Sri Ram agar membandingkan cara mana yang lebih berkesan baginya untuk mendapatkan Perdana Menteri berbanding pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin.

Gopal: Kamu kata bahawa untuk mengakses kepada tertuduh, kamu mesti melalui Jho Low atau pegawai PMO Amhari?

Shahrol: Ya, (benar) pada masa itu.

Gopal: Dari pengalaman kamu, yang mana (cara) terbukti lebih berkesan?

Shahrol: Dari pengalaman saya, Jho Low jauh lebih berkesan.

Gopal: Jadi, kamu boleh mendapatkan tertuduh lebih berkesan melalui Jho Low?

Shahrol: Ya.

 

Shahrol memberi keterangan itu kerana sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mempunyai akses langsung kepada Najib pada tahun 2009, dan terpaksa melalui Jho Low atau Amhari apabila dia perlu menghubungi tertuduh.


Beberapa nama dicadang untuk gantikan TIA

10.25 pagi: Mahkamah diberitahu oleh bekas CEO 1MDB bahawa beberapa nama dipertimbangkan untuk menggantikan nama Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata antara nama lain yang dibincangkan termasuk MDB Wealth Berhad, Malaysia Development Berhad dan Malaysia Wealth and Capital Creation Berhad.

Bagaimanapun, menurut saksi berkenaan nama-nama itu dilarang oleh Suruhanjaya Syarikat kerana ia adalah 'kata terkawal'.

Syarikat itu kemudian menerima surat daripada perdana menteri Najib Razak ketika itu untuk mendaftarkan namanya sebagai 1Malaysia Development Berhad.

Nama TIA secara rasmi diubah menjadi 1MDB pada 25 Sept 2009.


Najib guna MoF Inc sebagai perisai terhadap tuduhan- Saksi

10.24 pagi: Mahkamah diberitahu bahawa bekas perdana menteri Najib Razak menggunakan minit mesyuarat pemegang saham Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) untuk melindungi dirinya daripada tuduhan penyelewengan.

Bekas Ketua Pegawai 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam keterangannya berkata perkara itu dilakukan menerusi minit pemegang saham MoF Inc yang memberi kuasa kepada lembaga pengarah Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) untuk melakukan transaksi besar.

TIA yang dibeli oleh kerajaan melalui MoF Inc, kemudiannya ditukar menjadi 1MDB.

"Sekarang selepas pendedahan dalam penyiasatan ke atas penyelewengan yang berlaku dalam 1MDB, saya memahami bahawa minit mesyuarat pemegang saham ini sengaja dikeluarkan oleh Najib ketika itu (16 Sept 2009) untuk melindungi Najib dari tuduhan penyelewengan dan kemudian meletakkan tanggungjawab ke atas lembaga pengarah TIA,"kata Shahrol ketika membaca kenyataan saksinya.

Beliau berkata demikian kerana dua hari kemudian (18 Sept 2009), mesyuarat lembaga pengarah diadakan untuk membincangkan penggunaan dana dari bon TIA untuk memasuki projek usahasama dengan Petro Saudi, yang merupakan sebuah syarikat milik Prince Turki dan Tarek Obaid.

Mahkamah semalam diberitahu bahawa 1MDB pada tahun 2009 memperoleh RM4.396 bilion daripada penjualan bon RM5bilion.

Saksi itu juga berkata hari ini dia diberitahu oleh polis tahun lepas bahawa bon itu dijual pada harga diskaun kepada dua syarikat yang berpusat di Singapura dan Hong Kong yang dikaitkan dengan Jho Low.


Wang 1MDB daripada bon RM5b yang dilaburkan dalam PSI

10.10 pagi: Mahkamah diberitahu oleh bekas CEO 1MDB bahawa sebahagian besar wang yang diperoleh daripada penjualan bon pada tahun 2009 telah dibelanjakan untuk pelaburan di Petrosaudi International.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan bahawa 1MDB menggunakan AS$1 bilion, iaitu kira-kira RM3.4 bilion mengikut kadar pertukaran pada masa itu, untuk melabur di PSI pada 30 Sept 2009.

Beliau berkata baki kira-kira RM1 bilion dalam akaun 1MDB kemudian digunakan untuk membayar faedah, atau pembayaran kupon, untuk bon RM5 bilion.


Najib lantik Shahrol sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB 

10 pagi: Perbicaaan hari ini bermula dengan bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi meneruskan keterangannya dengan membaca dari kenyataan saksi beliau.

Shahrol, yang berkhidmat sebagai CEO dari tahun 2009 hingga 2013 memberitahu beliau dilantik secara rasmi bagi jawatan itu oleh bekas perdana menteri Najib Razak, yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB pada 17 Sept 2009.

Dia berkata pelantikan itu dibuat selaras Artikel 68 Memorandum & Artikel Persatuan 1MDB, yang telah dipinda sebelum itu.

Shahrol berkata pelantikan itu menandakan hanya perdana menteri boleh melantik ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan 1MDB.


9.30 pagi: Najib Razak memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di barisan depan galeri awam sambil menunggu prosiding bermula.


Pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi memasuki hari ketiga hari ini.

Saksi ke-9 itu hanya sempat membacakan 57 daripada 270 halaman keterangan saksinya semalam, dan pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Gopal Sri Ram dijangka masih jauh untuk diselesaikan hari ini.

Shahrol akan menyambung keterangannya pada hari ke-13 perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dakwaan penyelewengan dana RM2.28 bilion 1MDB di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah sekitar 9:30 pagi ini.

Semalam sebelum prosiding ditangguhkan, Shahrol memberi keterangan bahawa dalam Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) sebelum ditukar menjadi 1MDB, Najib mempunyai kuasa mutlak dalam membuat keputusan.

Menueutnya kebenaran bertulis juga diperlukan, terutama dari segi pelaburan utama, dana dan kepentingan negara.

Lihat Komen
ADS