Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pendakwaan mohon pindah kes rasuah Azeez ke mahkamah tinggi

Pihak pendakwaan memohon untuk memindahkan kes perbicaraan rasuah sebanyak RM145.6 juta melibatkan bekas pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim ke Mahkamah Tinggi.

Perbicaraan yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini ditangguhkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim memberitahu hakim Azura Alwi bahawa pihak pendakwaan memfailkan permohonan agar perbicaraan terhadap Abdul Azeez dan abangnya Abdul Latif dipindahkan ke mahkamah tinggi Khamis lepas.

Mahkamah menetapkan 2 Oktober depan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar berhubung perkara itu.

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Azeez dan abangnya memberitahu pihak media bahawa tertuduh tidak membantah permohonan untuk memindahkan perbicaraan itu ke mahkamah lebih tinggi.

"Kami tidak membantah (permohonan mereka).

"Sebelum perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya telah menulis surat kepada mahkamah untuk menukar perbicaraan hari ini atas alasan mereka telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi," kata Hisyam.

Beliau berkata tarikh perbicaraan bagi permohonan itu belum ditetapkan.

Azeez yang juga anggota parlimen Baling didakwa atas 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan RM144.6 juta pada Januari lalu.

Ia termasuk tiga pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Azeez didakwa menerima RM5.2 juta daripada pengarah Menuju Asas Sdn Bhd, Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, sebagai habuan kerana membantu syarikat itu mendapat projek pembinaan lebuh raya dan penambahbaikan jalan di Perak dan Kedah.

Projek itu dianggarkan bernilai antara RM197.8 juta hingga RM664.48 juta, dan transaksi dikatakan berlaku antara Disember 2010 hingga April 2018.

Berkenaan dakwaan pengubahan wang haram, Azeez didakwa menerima dana haram bernilai sehingga RM139.41 juta daripada empat syarikat, iaitu Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd, dan AVP Engineering (M) Sdn Bhd.

Transaksi dikatakan berlaku di Lembah Klang, antara 10 Mac 2010 hingga 30 Ogos 2018.

Sementara itu, Latif didakwa bersubahat berkenaan suapan berjumlah sehingga RM4 juta berhubung projek lebuh raya bernilai RM644.48 juta.

Azeez dan Latif mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan minta dibicarakan

Lihat Komen
ADS