Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Greenpeace dakwa Genting bakar 8,100 tanah, syarikat pertikai
Diterbitkan:  Sep 25, 2019 1:53 PM
Dikemaskini: 6:07 AM

Genting Group adalah antara 12 syarikat yang paling banyak membakar ladang sawit mereka di Indonesia dari tahun 2015 ke 2018, dakwa NGO alam sekitar antarabangsa berpengaruh Greenpeace.

Dakwaan itu dibuat Greenpeace Indonesia yang membandingkan peta tempat “bekas pembakaran” tahunan yang dibekalkan kerajaan Indonesia dan data konsesi berkaitan syarikat perladangan sawit.

Genting Plantations mempertikaikan dapatan ini.

Berdasarkan analisisnya, Greenpeace mendakwa dalam tempoh empat tahun itu, Genting membuat pembakaran di 8,100 hektar tanahnya.

Keluasan itu bersamaan 11,408 padang bola dan besar sedikit sahaja berbanding kawasan Subang Jaya, Selangor (7,042 hektar).

Genting diletakkan di kedudukan ketujuh daripada 12 syarikat yang didakwa membakar di lebih 5,000 hektar. Genting satu-satunya syarikat Malaysia dalam senarai itu.

Berdasarkan pecahan syarikat pula, Greenpeace mendakwa anak syarikat genting PT Globalindo Agung Lestari membakar 5,000 hektar tanah di Kalimantan tengah.

Peta pembakaran 2015-2018 Globalindo Agung Lestari

 

Kumpulan itu mendakwa pihak berkuasa juga tidak mengambil tindakan tegas terhadap Genting dan Globalindo Agung Lestari.

Dalam e-mel kepada Malaysiakini, Genting Plantations berkata mereka tidak dapat mengulas berkaitan ketepatan data Greenpeace.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan peta Kementerian Perhutanan dan Alam Sekitar Indonesia, kawasan pembakaran “secara umumnya di luar” konsesi Globalindo Agung Lestari.

Peta pembakaran Genting Plantation 2016-2018 di ladang Globalindo Agung Lestari

“Ini selari dengan data dalaman kami dari tahun 2016-2018, yang mana 6.8 hektar tanah Globalindo Agung Lestar mengalami pembakaran.

“Peta kami juga menunjukkan 203 hekta tanah milik masyarakat didapati dibakar. Tanah-tanah milik masyarakat ini ditanan dengan tanaman lain dan bukannya kelapa sawit,” kata syarikat itu.

Katanya maklumat itu telah diberikan pada Greenpeace pada 23 September.

Genting mempunyai pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO).

Genting Plantations berkata semua insiden kebakaran dilaporkan kepada pihak berkuasa dan RSPO yang disyaratkan.

Syarikat itu juga berkata mereka mempunyai “dasar pembakaran sifar” dalam membangunkan ladang sawit dan melaksanakan kriteria lestasi dalam kesemua operasinya.

“Kami ada pemantauan kawasan panas melalui satelit pada sebelah pagi dan petang.

“Lima rondaan dijalankan setiap hari dan pasukan kawalan dan pemadam api diselaraskan dengan pihak berkuasa tempatan dan masyarakat,” kata Genting Plantations.

Katanya, pensijilan RSPO dan MSPO tidak terjejas dengan berita itu.

Malaysiakini sudah menghubungi Majlis Pensijilan Sawit Malaysia yang menguruskan MSPO dan RSPO dan Kementerian Industri Utama dan sedang menunggu komen mereka.

Pada 13 September lalu, Menteri Industri Utama Teresa Kok - dalam pembelaan syarikat berkaitan - berkata pemain industri maklum bahawa pembakaran terbuka boleh menyebabkan pensijilan mereka di Indonesia dan Malaysia digantung.

Beliau berkata demikian selepas syarikat-syarikat Malaysia didakwa terlibat dalam pembakaran yang menyumbang kepada masalah jerebu rentas negara di rantau ini.

Genting tidak dinamakan dalam laporan sebelum ini. Bagaimanapun Greenpeace mendakwa sehingga 16 September, terdapat 434 titik panas di ladang milik Genting, termasuk 297 di Globalindo Agung Lestar.

Seorang jurucakap Genting memberitahu Malaysiakini bahawa mereka sedang menyemak perkara ini dan akan menjawab soalan portal ini segera.

Perladangan sawit didakwa memusnahkan hutan dan mengancam hidupan diancam kepupusan seperti orang utan.

Ia mewujudkan sentimen antisawit, terutamanya di negara-negara Barat.

Greenpeace berkata peta bekas pembakaran juga menunjukkan tanah seluas 3.4 juta hektar telah dibakar di Indonesia, hampir seluas negeri Pahang (3.58 hektar).


Laporan tambahan oleh Zikri Kamarulzaman

Lihat Komen
ADS