Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang Asli tahu tujuan perancang keluarga, kata Dzulkefly
Diterbitkan:  Sep 25, 2019 8:37 PM
Dikemaskini: 12:37 PM

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata siasatan mendapati kebanyakan wanita Orang Asli yang ditemu bual mengetahui tujuan program perancang keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"KKM ingin merujuk isu tular di beberapa akhbar tempatan pada 9 hingga 10 Julai 2019 mengenai perkhidmatan perancang keluarga sebagai satu paksaan kepada wanita Orang Asli di daerah Hulu Perak. Sehubungan itu KKM telah menubuhkan satu satu jawatankuasa.

"Hasil siasatan mendapati kebanyakan wanita Orang Asli yang ditemu bual mengetahui tujuan pengambilan perancang keluarga untuk menjarakkan kehamilan dan memberi masa kepada ibu untuk pulih kembali selepas bersalin," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Julai lalu, KKM menubuhkan satu jawatankuasa siasatan dalaman bagi menyiasat dakwaan yang mengatakan wanita Orang Asli di Perak dipaksa mengikuti program perancang keluarga.

Siasatan tersebut diketuai oleh seorang Pakar Perubatan Keluarga dari kaum Orang Asli serta lima orang anggota pelbagai kategori dan kaum iaitu India, Cina, Melayu dan Orang Asli.

Menurutnya, tiada wanita Orang Asli yang ditemu bual yang menyatakan bahawa perancang keluarga adalah untuk menghadkan bilangan anak masyarakat Orang Asli.

"Mereka juga menafikan terdapat paksaan oleh anggota kesihatan untuk mereka mengamalkan perancang keluarga.

"Terdapat wanita yang telah berhenti mengamalkan perancang keluarga atas alasan mereka sendiri," jelasnya.

KKM pada Julai lalu mempertahankan program perancang keluarga berkenaan dan menjelaskan bahawa semua wanita termasuk dari kalangan Orang Asli diberi penerangan berhubung ubat perancang kehamilan yang diberikan.

KKM berkata program itu bertujuan untuk menjarakkan kelahiran bagi memberi peluang ibu kembali sihat bersedia untuk mengandung seterusnya selain dapat menumpukan tumbesaran serta perkembangan anak baru lahir dengan sebaiknya.

Lihat Komen
ADS