Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Polis mengumumkan penahanan 16 suspek yang disyaki terlibat dengan kegiatan militan, termasuk seorang yang dipercayai merancang serangan ke atas ahli politik dan warga bukan Islam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata suspek berkenaan ditahan dalam operasi yang bermula 10 Julai hingga 25 September lalu.

Katanya, suspek berkenaan merupakan salah seorang yang dipercayai terlibat aktif di media sosial dalam merekrut warga Malaysia dan Indonesia dan untuk menyebarkan ideologi Salafi Jihadi atau Daesh.

“Mereka merancang melancarkan serangan Malaysia dan Indonesia pada masa akan datang.

“Seorang suspek warga Malaysia yang ditangkap merancang untuk melancarkan serangan ke atas ahli politik dan penganut bukan Islam di Malaysia, atas dakwaan mereka menindas umat Islam dan membuat komen negatif terhadap umat Islam,” katanya ketika sidang media di Bukti Aman.

Selain itu, beberapa suspek yang merancang melakukan serangan di Selatan Filipina turut ditahan di Keningau, Sabah dalam operasi sama.

“Ini operasi pencegahan yang kita lakukan ke atas sel yang bertanggungjawab membantu penyeludupan masuk anggota Daesh dari Indonesia, transit di Sabah, untuk menyerang Selatan Filipina,” katanya lagi.

Sementara itu, Ayob turut mendedahkan penahanan seorang suspek warga India yang dipercayai terlibat dengan kegiatan kumpulan pemisah “Sikhs for Justice”.

Menurutnya, suspek wanita berusia 38 tahun yang ditahan pada 2 Ogos itu disyaki terlibat dalam pengumpulan dana dan disalurkan kepada kumpulan berkenaan.

“Saspek ini sudah ditangkap, dibawa ke imigresen dan sudah diusir ke India kerana dikehendaki pihak berkuasa India,” katanya lagi.

Ayob berkata 16 suspek yang ditahan itu terdiri daripada tiga warganegara tempatan, 12 warga Indonesia dan seorang warga India.

15 daripada suspek ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) manakala warga India berkenaan bawah Akta Imigresen 1959/1963.

Lihat Komen
ADS