Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rehda cadang benarkan guna 50% KWSP beli hartanah

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) mencadangkan agar kerajaan membenarkan pembeli rumah menggunakan lebih banyak wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pendahuluan dalam pembelian hartanah.

Presiden Rehda Soam Heng Choon mencadangkan sumbangan Akaun 2 dalam KWSP, yang pada ketika ini boleh digunakan sepenuhnya untuk pendahuluan pembelian hartanah, dinaikkan daripada 30 peratus kepada 50 peratus.

Bagaimanapun, Soam berkata sekiranya pembeli rumah menggunakan lebih daripada 30 peratus daripada sumbangan KWSP untuk pendahuluan hartanah, jumlah tambahan mesti dikembalikan kepada KWSP sekiranya hartanah itu dijual semula pada masa akan datang.

"Kami katakan, apa-apa yang lebih daripada 30 peratus diambil dari Akaun 2 KWSP, pembeli rumah perlu membayar balik akaun ini sekiranya mereka menjual rumah mereka," katanya.

Soam berkata ini adalah antara cadangan Rehda selepas bertemu dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

"Ini adalah sebahagian daripada harapan kami dalam belanjawan," tambah Soam.

Caruman KWSP dipecah dua akaun, dengan 70 peratus di Akaun 1, manakala baki 30 peratus di Akaun 2.

Akaun 1 tidak boleh diakses sehingga persaraan, kecuali sebab-sebab tertentu seperti penghijrahan, sementara Akaun 2 boleh digunakan untuk tujuan tertentu seperti membeli hartanah atau pendidikan.

"Kami juga meminta wang KWSP disalurkan secara langsung kepada pemaju untuk pendahuluan pembelian hartanah.

"Pada masa ini, pembeli rumah perlu mengeluarkan wang mereka sendiri untuk pendahuluan, dan kemudian menuntut semula dari KWSP," kata Soam.

Soam berkata dia percaya Lim dan Zuraida akan meneliti permintaan Rehda walaupun para menteri tidak memberikan maklum balas semasa mesyuarat itu.

Kerajaan Pakatan Harapan akan membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada 11 Okt depan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS