Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kematian Adib akibat terhentak pintu diterajang penyerang - Koroner

Mahkamah Koroner Shah Alam menerima teori bekas ketua forensik Hospital UKM Dr Shahrom Abdul Wahid bahawa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim mengalami kecederaan akibat tindakan penyerang dalam rusuhan di Kuil Sri Mahamariamman di Seafield tahun lalu.

Dalam kejadian itu, Adib disentap dari kenderaan yang dinaikinya sehingga sebahagian badannya terkeluar dan pada masa sama pintu hadapan sebelah kiri van EMRS itu diterajang beberapa kali dan menghentak Adib yang berada di antara pintu kenderaan.

Koroner Rofiah Mohamad, mengisytiharkan kematian Adib sebagai disebabkan oleh dua atau tiga penyerang yang tidak dikenali, telah menyenaraikan penemuan mahkamah selama 41 hari prosiding, yang mendengar keterangan 30 saksi.

Antara penemuan Rofiah yang dibacakan di mahkamah adalah video yang diambil semasa kejadian 26 Nov, 2018, termasuk klip video 46 saat.

Beliau berkata gambar pegun dari klip video itu menunjukkan Adib masih berada di dalam van EMRS dengan kepalanya menghadap belakang sambil memegang pintu penumpang depan yang sedikit terbuka.

"Adalah logik, (berdasarkan) bahasa badan arwah, arwah sedang lihat belakang supaya EMRS yang mengundur tak langgar apa-apa atau sesiapa di belakangnya," katanya.

Koroner juga berkata pakar fizik Dr Amir Radzi Ab Ghani memberi keterangan "secara konkrit menolak" pakar patologi Hospital Kuala Lumpur Dr Ahmad Hafizam Hasmi bahawa Adib dilanggar van EMRS yang berundur.

"Justeru jika benar (mangsa) turun sendiri, maka beliau akan jatuh ke belakang. Dan sekiranya ini berlaku, kecederaan arwah adalah crush injury, dan akan digilis EMRS dan FRU," katanya.

Kegagalan polis kawal rusuhan

Rofiah berkata salah seorang saksi juga memberi keterangan bahawa Ketua Polis Daerah Subang Jaya tidak dapat dihubungi semasa kejadian itu.

Beliau berkata kegagalan pihak polis menjalankan tugas mereka menyumbang kepada insiden berkenaan.

"Saya juga membuat dapatan kematian arwah disebabkan kegagalan PDRM dan FRU kawal rusuhan.

"Keterangan jelas menunjukkan telah berlaku beberapa kebakaran sebelum arwah terlibat. Anggota bomba juga telah diancam perusuh yang tak mahu kebakaran dipadam.

"Ada polis berkawal dan api berjaya dipadam bomba.

"Adalah amat malang bila dua troop FRU dengan ratusan anggota dengan tujuh kenderaan pelbagai jenis, water cannon, gas tank dan sebagainya, tetapi hanya melihat perusuh-perusuh melakukan khianat pada bomba dan tak melakukan apa-apa.

"(Mereka) hanya siap siaga dengan senjata mereka, semata-mata kerana tak diberi arahan walaupun keadaan meruncing," jelasnya.

Keterangan saksi

Di samping itu, Rofiah berkata mahkamah menerima keterangan pembantu perubatan Institut Jantung Negara (IJN) Ashraf Baruji, yang memberi keterangan bahawa Adib memberitahunya bahawa mangsa dipukul semasa rusuhan itu.

Beliau berkata mahkamah mendapati Adib berkata demikian kepada Ashraf menerusi hubungan peribadi yang dibina antara kedua-duanya ketika mangsa menerima rawatan di IJN, memandangkan Ashraf bertanggungjawab untuk menjaga Adib setiap hari.

Rofiah berkata hubungan itu menjelaskan mengapa Adib memberitahu Ashraf mengenai apa yang berlaku kepadanya dan bukan kepada pihak polis, yang mana mangsa hanya menggelengkan kepala apabila ditanya polis mengenai kejadian itu.

Sementara itu, koroner itu juga berkata berdasarkan kesaksian dan bukti yang dibentangkan oleh saksi, termasuk S Suresh, yang melihat sekumpulan lelaki yang kelihatan memukul dan menendang seseorang, mahkamah telah menetapkan bahawa kira-kira 20 hingga 30 orang telah menyerang mangsa.

Bagaimanapun, mahkamah percaya bahawa tindakan memukul yang berlaku di luar van EMRS tidak menyebabkan kecederaan yang membawa kepada kematian Adib.

Rofiah berkata Adib sudah tidak sedarkan diri ketika dikerumuni orang ramai.

Peguam, keluarga gesa tangkap pembunuh Adib

Dengan berakhirnya inkues itu, Rofiah berkata, mahkamah menyerahkan kepada Peguam Negara dan polis untuk menjalankan siasatan serta melakukan pendakwaan.

Sementara itu, suasana gembira dan terharu menyelubungi mahkamah ketika koroner menyampaikan keputusannya.

Seseorang dari galeri awam di mahkamah juga didengar berkata "Yes, Alhamdulillah" sebaik sahaja keputusan mahkamah diumumkan.

Beberapa individu yang lain, termasuk peguam yang mewakili keluarga mangsa, juga dilihat memeluk antara satu sama lain.

Selepas inkues membuat kesimpulannya, peguam Kamaruzzaman Wahab, yang mewakili keluarga Adib, memberitahu pemberita bahawa dengan keputusan itu, mereka kini meminta polis mengambil tindakan dengan menangkap individu yang terlibat dalam kematian Adib dan membawa mereka ke mahkamah.

Seorang lagi peguam, Syazlin Mansor, berkata mereka sangat berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan mengucapkan terima kasih kepada semua saksi termasuk pakar yang membantu inkues berkenaan.


Laporan disediakan oleh Hariz Mohd, Alyaa Alhadjri, Shakira Buang dan Fadhli Sulaiman.

Lihat Komen
ADS