Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

ULASAN | Utusan adalah harta milik parti Umno dan Umno menggunakan Utusan untuk membelasah Dr Mahathir kaw kaw ketika beliau berusaha membebaskan Malaysia daripada kleptokrasi.

Pada mulanya saya tidak mahu mengulas cadangan meminta Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, campur tangan menyelamatkan syarikat Utusan Melayu.

Bagi saya, cadangan itu tidak masuk akal dan tidak kena tempatnya. 

Saya katakan begitu kerana, pertama Utusan adalah harta keramat milik parti keramat Umno dan kedua, Umno menggunakan akhbar Utusan Malaysia untuk membelasah Dr Mahathir kaw kaw ketika beliau berusaha membebaskan Malaysia daripada kleptokrat, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.

Ketiga, adalah dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjamin kebebasan media. Jadi memohon campur tangan perdana menteri dalam isu dalaman Utusan adalah bertentangan dengan dasar tersebut.

Bagaimanapun, saya tergerak untuk mengulas sedikit setelah menerima pesanan WhatsApp (bukan wassap atau wasap) daripada seorang “anak buah” yang mewakili Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) cawangan Utusan.


BACA BERKAITAN: Rayuan NUJ Utusan: Gilap kami dari seketul arang jadi berlian bernilai


Saya membalas: “Umno, Najib dan sidang pengarang Utusan wajib ambil tanggungjawab. Mereka yang menyebabkan maladi Utusan hari ini. Utusan hentam Tun kaw kaw.”

Ini adalah amalan zaman Najib dan Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila media massa arus perdana terpaksa akur kepada “wahyu” dari Putrajaya.

Sidang pengarang Utusan dan sesetengah wartawannya bukan sekadar membenarkan akhbar ikonik itu diperalatkan malah dengan sukarela menerima arahan dari luar.

Sekarang ada pemimpin NUJ Utusan yang memberitahu saya bahawa "kerja-kerja penulisan politik adalah atas tindakan bos-bos pengarang dan mereka ini menerima imbuhan dan bayaran khas."

Kalau itulah keadaannya maka lagilah tidak wajar mengharapkan Dr Mahathir campur tangan menyelamatkan Utusan.

Dari dulu hingga kini Utusan adalah milik Umno. Malah daripada apa yang saya dengar, Umno tidak mahu jual Utusan macam ia jual sahamnya dalam Media Prima Berhad.

Jadi kalau Umno tidak mahu jual, macam mana Dr Mahathir atau mana-mana pihak juga hendak campur tangan membantu Utusan?

Jawabnya Umno tidak mahu campur tangan luar. Ini diperkukuhkan oleh tindakan parti itu memberi bantuan modal RM1.6 juta kepada Utusan bulan lalu.

Tak mahu Utusan berkubur

Saya tahu Dr Mahathir tidak mahu Utusan terkubur. Tetapi selagi Umno berkeras mengekalkan kawalannya ke atas Utusan, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh sesiapa pun.

Jadi soal kakitangan bawahan Utusan bersedia untuk bekerjasama dengan “bos pengarang baru” jika Dr Mahathir sedia membantu, tidak timbul.

Kita pun tidak mengharapkan apa-apa daripada media massa selain bagi mereka bersikap adil, profesional dan berkecuali.

Dr Mahathir tentulah tidak mahu Utusan mati kerana untuk sekian lama Utusan Melayu (jawi) dan Utusan Malaysia adalah akhbar bahasa Melayu pilihan beliau. Bagi bahasa Inggeris beliau membaca New Straits Times.

Kalau tidak silap saya hanya bermula zaman Abdullah beliau berhenti memberi keutamaan kepada Utusan dan NST kerana dua akhbar itu dan akhbar-akhbar lain juga digunakan secara terang-terangan untuk membunuh legasi beliau dan memburuk-burukkan beliau.

Saya pun mempunyai sentimen yang sama. Saya tidak mahu Utusan terkubur. Sejak kecil saya membaca Utusan Melayu dan kemudian Utusan Malaysia. Malah saya kerap menulis dalam Utusan Malaysia hatta ketika menjadi pengarang NST.

Mungkin banyak orang, termasuk pengamal media, tidak tahu bahawa pada zaman pentadbiran pertama Dr Mahathir lah jualan akhbar mencapai angka tertinggi.

Pada penghujung pentadbiran beliau tahun 2003, pengedaran Utusan Malaysia mengatasi 320,000 naskhah sehari dan Mingguan Malaysia lebih setengah juta.

Jadi saya tidak nampak logiknya membabitkan Dr Mahathir dalam sebarang usaha menyelamatkan Utusan. Hanya Umno boleh menentukan hidup atau mati Utusan.

Atau boleh jadi juga Umno sebenarnya sudah hilang pegangan dan kawalan ke atas Utusan tetapi tidak mengakuinya dengan berpura-pura seolah-olah ia masih memiliki kumpulan media itu.


A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Bersatu sebagai pimpinan pusat parti itu.

Tulisan ini asalnya disiarkan di blog beliau dengan tajuk Maladi Utusan: Mengapa Cari Dr Mahathir? Pandangan penulis tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS