Malaysiakini BERITA

Pertelingkahan Sunni dan Syiah disebabkan politik - Ahli akademik

Haspaizi Zain

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pertelingkahan antara Sunni dan Syiah disebabkan percaturan politik dan bukannya semata-mata soal akidah, kata Dr Ahmad Farouk Musa.

Pengerusi Islamic Renaissance Front (IRF) itu berkata, pertelingkahan membabitkan isu akidah dua aliran ini tidaklah begitu ketara.

"Pertelingkahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam adalah disebabkan politik 'pengkhalifahan'.

"Ia bukan sangat pertelingkahan akidah, tetapi pertelingkahan politik. Revolusi Iran pada 1979, sikap Syiah pada masa itu lebih menyendiri dan ketika itu konflik memuncak," katanya pada forum "The future of the ummah, voices of unity and harmony" di ibu negara, hari ini.

Turut bertindak sebagai ahli panel, Presiden International Movement for a Just World (Just), Dr Chandra Muzaffar dan Prof Dr Syed Farid Alatas dari National University of Singapore.

Pada tahun 2013 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan semua ajaran Syiah di negara ini adalah menyeleweng daripada pegangan ahli sunnah wal jamaah dan hukum syarak.

Menurut Jakim, berdasarkan kajian dijalankan pihaknya, aliran Syiah Imamiyyah Ithna 'Ashariyyah atau Imam Dua Belas mula aktif di Malaysia selepas kejayaan revolusi Iran.

Jelas Jakim lagi, ajaran Syiah yang diamalkan pengikut di Malaysia sehingga kini adalah aliran Imam Dua Belas yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Dalam pada itu Ahmad Farouk berkata, ulama besar dunia termasuk dari Al-Azhar, Mesir pernah cuba mengadakan pertemuan membabitkan Sunni dan Syiah bagi mendamaikan dua kumpulan ini.

Perlu fahami geopolitik

Katanya, pihak yang ingin mengkritik Syiah perlu memahami geopolitik dan tidak hanya melihat kumpulan itu mahu membunuh puak Sunni.

"Ia umpama (dikatakan Presiden Syria) Bashar al-Assad mahu membunuh Sunni, wal hal askar-askar Bashar adalah Sunni," katanya lagi.

Pandangan sama turut disuarakan Chandra yang mendakwa pertembungan antara puak Sunni dan Syiah di negara Timur Tengah adalah percaturan politik kuasa besar dunia.

Beliau berkata kuasa-kuasa besar dunia ingin menguasai hasil bumi di negara teluk itu yang kaya dengan petroleum.

Dalam Syiah ada yang sesat, begitu juga Sunni'

Sementara itu, Syed Farid turut mengulas mengenai penganiayaan Syiah di Malaysia apabila ajaran ataupun fahaman itu diharamkan secara mutlak.

"Haramkan Syiah atau kafirkan Syiah secara total adalah terkeluar daripada tradisi Sunni. Ada (penganut) Syiah tertentu yang sesat, menyeleweng daripada ajaran rasmi mereka, begitu juga Sunni ada yang begitu.

"Kita tidak terima penganiayaan terhadap Syiah di Malaysia, kita mahu hidup bersama. Kalau rakyat kata begitu esok Umno dan Pakatan Harapan (PH) akan perjuangkan Syiah," katanya.

Tambahnya lagi, Syiah yang merupakan kumpulan minoriti Islam di negara ini harus diberi kebebasan mengamalkan fahaman mereka.