Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sabah iktiraf UEC syarat masuk universiti, perkhidmatan awam
Diterbitkan:  Sep 29, 2019 9:39 AM
Dikemaskini: 1:39 AM

Kerajaan negeri Sabah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan sektor perkhidmatan awam negeri.

Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal berkata cuma ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan untuk kita kira bukan hanya masuk universiti tetapi masuk perkhidmatan awam negeri Sabah.

“Kerajaan negeri telah mengiktiraf UEC di negeri Sabah. Kami telah buat keputusan mengiktiraf sijil ini," katanya ketika berucap pada sambutan Festival Kuih Bulan di Lintas Square di Kota Kinabalu, malam tadi.

Mengulas lanjut perkara itu menerusi kenyataan media, Mohd Shafie berkata di Sabah, terdapat sembilan sekolah atau institusi pengajian yang menawarkan UEC.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 1,153 pelajar di peringkat rendah dan 583 di peringkat tinggi dan mereka menduduki dua peperiksaan.

"Saya juga gembira bahawa daripada jumlah ini, 83 adalah bumiputera," katanya.

Ketua Menteri berkata untuk calon-calon Sabah yang menduduki peperiksaan Junior UEC, mereka perlu mengambil peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan bagi calon peperiksaan Senior UEC, mereka perlu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), katanya.

Mohd Shafie berkata Jabatan Pendidikan Sabah menyokong keputusan mengiktiraf UEC, tetapi sebagai syarat untuk memasuki institusi pengajian tinggi, seseorang itu juga mesti mendapat kredit dalam Bahasa Melayu SPM, lulus subjek Sejarah SPM dan lulus peperiksaaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri juga bersetuju pemegang sijil UEC yang mahu dilantik dalam perkhidmatan awam, memerlukan kelayakan seperti yang ditetapkan di bawah peraturan jabatan itu.

Pada masa sama, Mohd Shafie berkata mereka juga mesti mempunyai kelayakan minimum SPM yang diperlukan atau apa sahaja kelayakan yang ditetapkan kerajaan Sabah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS