Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Adib: AG janji buat pendakwaan lepas siasatan lengkap, suspek dikenal pasti
Diterbitkan:  Sep 30, 2019 3:37 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Jabatan Peguam Negara memberi jaminan akan berusaha sedaya upaya dalam meneliti dan meneruskan prosedur undang-undang berhubung kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim secara profesional sebaik menerima kertas siasatan.

"Ini ialah janji jabatan ini," kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Thomas turut menyorot bahawa terdapat banyak spekulasi dan maklumat yang salah dibangkitkan berhubung langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai agensi kerajaan berikutan keputusan Koroner, Rofiah Mohamad, pada Jumaat yang lalu pada penghujung inkues yang dijalankan ke atas kematian tragis Muhammad Adib.

Jelas Thomas, selepas siasatan dilengkapkan dan pelaku suspek dikenal pasti oleh pihak polis, kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan syor polis.

"Pada peringkat itu tugas jabatan ini (Jabatan Peguam Negara) bermula. Jabatan ini perlu meneliti kertas siasatan, mempertimbangkan syor polis, dan mendakwa individu-individu yang terlibat.

"Orang ramai harus diberikan jaminan bahawa pejabat Pendakwa Raya mengambil serius tanggungjawabnya di bawah undang-undang.

"Jabatan ini akan berusaha sedaya upaya apabila kertas siasatan diserahkan kepada jabatan ini," katanya.

Thomas turut berkata Ketua Polis Negara (KPN), Abdul Hamid Bador telah memberikan maklum balas kepada orang ramai bahawa pihak polis akan menyiasat.

Justeru, katanya, pihak polis harus diberikan masa dan ruang untuk menjalankan siasatan mereka.

"Pihak polis mempunyai sumber dan kepakaran untuk menjalankan tugas-tugas mereka di bawah undang-undang...

"KPN tentu sekali akan memaklumkan perkembangan siasatan pihak polis kepada orang ramai yang ingin tahu dari semasa ke semasa," katanya.

Minggu lalu, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah melibatkan dua atau tiga penyerang ketika anggota bomba itu bertugas di luar Kuil Sri Maha Mariamman Seafield Nov tahun lalu.

Mahkamah turut menyatakan bahawa kegagalan polis mengawal rusuhan turut menyumbang kepada kematian anggota bomba berumur 24 tahun itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Abdul Fareed Abdul Gafoor turut menggesa agar pihak polis diberikan ruang yang secukupnya dalam menjalankan tugas mereka berhubung kes berkenaan.

"Harus diingatkan bahawa keputusan inkues, tidak seperti sabitan jenayah, tidak menimbulkan apa-apa liabiliti terhadap sesiapa.

"Ia hanyalah latihan untuk mencari fakta, dalam menentukan bagaimana si mati menemui kematiannya, punca kematian dan jika ada unsur jenayah di dalamnya.

"Apa-apa keputusan yang menyentuh mengenai penglibatan 'jenayah' hanya boleh dilakukan berdasarkan kesimpulan siasatan polis.

"Badan Peguam Malaysia menyeru polis untuk melakukan siasatan semula yang lebih teliti dan ketat, untuk mengenal pasti dan membawa pelaku ke pengadilan," katanya.

Lihat Komen
ADS