story image
mk-logo
Berita
Siapa saja calon BN kita terima, kata veteran Umno-PAS

Veteran Umno dan PAS sepakat untuk memberi sokongan kepada siapa saja calon yang akan dipertaruhkan BN pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai.

Pengerusi Veteran Umno, Othman Desa, berkata sama ada calon dari MCA ataupun Umno yang akan dipertaruhkan, pihaknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN tentukan.

"Kita Veteran (Umno) akan ikut keputusan pemimpin di atas, itu pendirian kita.

"Apa yang diputuskan pemimpin di atas kita terima, kita akan bantu calon Muafakat Nasional tak kira siapa," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat antara Veteran Umno dan Assabiqun PAS di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Assabiqun PAS, Subky Latif dan Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub.

Pada 26 September, Ketua MCA Bahagian Kapar Song Kee Chai dan ahli-ahlinya berikrar untuk keluar dari parti jika Umno meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai.

Subky Latif 

Menegaskan bahawa kerusi itu secara tradisinya dimiliki oleh MCA, Song berkata bahawa jika Umno meletakkan calon, maka MCA harus meletakkan calon sendiri di kawasan itu.

"Biar mati berdiri dari hidup melutut. MCA perlu hidup dengan bermaruah!" katanya seperti dipetik oleh akhbar Cina Sinchew Daily.

Pada hari yang sama, Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong, berkata parti itu menghormati prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan BN dan pengumuman mengenai nama calon mewakili pembangkang di Tanjung Piai akan dibuat secara kolektif.

Kata anggota parlimen Ayer Hitam itu, pendirian tersebut diambil selepas beliau mengadakan perbincangan panjang lebar dengan Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Othman berkata, Veteran Umno masih mempunyai "kekuatan" untuk berkempen bagi memenangkan calon BN dalam PRK itu nanti.

Katanya, soal MCA ataupun Umno yang akan meletakkan calon, Veteran Umno tidak mempunyai masalah asalkan boleh membawa kemenangan kepada BN.

Sementara itu, Subky berkata pelbagai pandangan yang diketengahkan sebelum keputusan dibuat adalah perkara biasa dalam politik.

Namun, beliau yakin apabila pucuk pimpinan sudah membuat keputusan, semua pihak akan akur.

Assabiqun katanya tidak mempunyai masalah untuk berkempen bagi membantu kemenangan calon MCA jika dipertaruhkan BN.

Allahyarham Mohd Farid Md Rafik

Kerusi parlimen Tanjung Piai kosong berikutan kematian penyandangnya, Dr Mohd Farid Md Rafik, pada 21 Sept lalu.

Pakatan Harapan (PH) merampas kerusi Tanjung Piai daripada MCA melalui Mohd Farid - yang juga anggota Bersatu - dalam pilihan raya umum (PRU) tahun lalu.

Mohd Farid berjaya memenangi kerusi itu daripada penyandang, Wee Jeck Seng, dengan kelebihan 524 undi. Beliau memperoleh 21,255 undi. Seorang lagi calon ialah Nordin Othman yang mewakili PAS.

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen (0)
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS