Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Banyak-banyak tarikh, tarikh itu juga SPR pilih’

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tarikh pilihan raya kecil (PRK) parlimen Tanjung Piai yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Beliau berkata demikian setelah tempoh berkempen (2 hingga 16 November) dan tarikh hari mengundi bertembung dengan Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur dari 13 hingga 16 November.

“Dalam banyak-banyak tarikh yang ada, SPR mempunyai pilihan yang banyak tetapi dengan sengaja pilih tarikh itu.

“Kita anggap SPR seperti mempunyai niat yang tidak berapa baik terhadap salah satu parti yang sudah tentu akan terlibat dalam pilihan raya tersebut,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan tarikh itu pagi tadi

Jelasnya, persiapan bagi perhimpunan tersebut melibatkan banyak perkara dan telah dirancang setahun lebih awal.

“Mereka tahu persiapan perhimpunan agung libatkan banyak perkara. Ini melibatkan pemimpin seluruh negeri yang sudah beli tiket penerbangan, hotel sudah ditempah.

“Kita di pihak penganjuran juga terpaksa buat tempahan banyak perkara yang telah dirancang setahun lebih awal,” katanya.


‘Kenapa bertembung? Kebarangkalian cuma 0.00000001 peratus’


Annuar bagaimanapun berkata pihak partinya akan melakukan mesyuarat esok bagi membincangkan keputusan berkenaan tarikh tersebut.

“Kita tidak boleh buat apa-apa dan jawatankuasa pengurusan Umno akan buat mesyuarat esok tentang tarikh itu.

“Ini kerana kita (Umno) sudah tentu mahu menumpukan perhatian kepada pilihan raya itu sendiri.

"Jadi tak penting untuk kita semua berkampung di Kuala Lumpur (KL) tiga hari kerana itu juga adalah tarikh kritikal kalau hari mengundi kepada 16 November,” katanya.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik dari Pakatan Harapan-Bersatu pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Tanjung Piai merupakan kerusi tradisi MCA dan ketua parti berkenaan Wee Jeck Seng telah menyandang kerusi tersebut selama dua penggal sebelum tewas pada PRU14 kepada Dr Farid daripada Bersatu.

Bagaimanapun Umno bersama PAS melalui kerjasama Muafakat Nasional telah melobi untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Untuk rekod, tarikh yang ditetapkan oleh SPR pada PRK Sandakan 11 Mei turut bertembung bersama Kongres Khas DAP pada 5 Mei lalu.

Lihat Komen
ADS