Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengakui sukar bagi Pakatan Harapan mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Menurutnya, faktor pengundi luar yang dijangka tidak ramai pulang mengundi menyukarkan PH mempertahankan kerusi tersebut yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"Selalunya PRK memang kita (PH) sukar untuk mencapai kemenangan. Terutama sekali pengundi-pengundi luar, sama ada bekerja di Singapura, Australia dan tempat-tempat lain.

"Banyak yang tidak pulang sebab mereka menganggap siapa menang pun tak dapat mengubah kerajaan.

"Tapi kalau PRU, mereka sanggup berbelanja sendiri untuk pulang, walaupun mereka habis lima atau enam ribu Ringgit," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sekalung Budi Media Pertahanan di Hotel Istana, Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu juga memberi contoh keputusan PRK Teluk Intan pada tahun 2014, yang menyaksikan pembangkang pada masa itu tewas kepada BN walaupun kerusi tersebut merupakan kubu kuat DAP.

Belum dapat notis mesyuarat bincang calon

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik dari Bersatu pada 21 Sept lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRU lalu, Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memperolehi 21,255 undi menewaskan Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi.

Sementara itu, Mohamad yang juga presiden Amanah berkata notis mesyuarat Majlis Presiden PH bagi membincangkan calon pada PRK berkenaan masih belum diterima.

"Belum lagi dapat notis kerana perdana menteri baru pulang hari ini (dari luar negara). Esok mesyuarat kabinet. Dan barangkali esok akan dibagitahu oleh Tun (Dr Mahathir Mohamad) bila mesyuarat PH," katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini dan pengundian awal pada 12 November.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun turut mengumumkan hari penamaan calon ditetapkan pada 2 November.

Lihat Komen
ADS