Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Patriot: Jangan politikkan LTAT, biarkan juruaudit siasat
Diterbitkan:  Oct 2, 2019 9:45 AM
Dikemaskini: 2:18 AM

Kumpulan veteran tentera membidas bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas menteri pertahanan Hishamuddin Hussein susulan kenyataan mereka baru-baru ini mengenai dividen rendah sebanyak 2 peratus untuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Mohamed Arshad Raji merujuk kritikan terhadap Kementerian Pertahanan selepas ia diumumkan bahawa LTAT mempunyai keuntungan bersih sebanyak RM221 juta untuk tahun kewangan 2018, iaitu penurunan sebanyak 51.9 peratus daripada 2017.

"Najib dan Hishamuddin mengkritik kerajaan untuk prestasi buruk LTAT ketika ini sedangkan sebenarnya masalah itu berpunca daripada mereka," kata Arshad dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad memetik juruaudit LTAT, laporan audit Tetuan Ernnst & Young untuk tempoh antara 31 Dis, 2017 dan 31 Disember 2018 yang menemui "urus niaga yang lalu yang mengandungi potensi ketidakteraturan dan kelemahan dalam bidang operasi, perakaunan dan undang-undang".

"Terdapat tujuh penemuan penting mengenai penyelewengan dan kelemahan kewangan. Daripada jumlah itu, dua adalah kecuaian yang serius dan melibatkan ketidakcekapan yang sebelum ini diterajuibekas perdana menteri (Najib) dan bekas menteri pertahanan (Hishammuddin)," katanya.

Arshad berkata terdapat lebihan bayaran dividen daripada tahun kewangan 2014 hingga 2018 dan ia telah menjejaskan baki pendapatan.

"Pulangan aset lima tahun lebih rendah daripada kadar dividen yang diumumkan, dan ini menyebabkan LTAT membayar dividen pada kadar yang lebih tinggi daripada yang sepatutnya," katanya.

Arshad juga mendakwa jumlah aset LTAT bagi 2015 hingga 2017 yang dinyatakan lebih daripada jumlah sebenarnya.

"Ini disebabkan kegagalan pelaburan yang mengakibatkan aset LTAT dinyatakan lebih daripada jumlah sebenar. Penelitian tidak dilakukan sebelum melabur dalam syarikat itu," katanya.

Arshad juga mempertikaikan kenyataan Hishamuddin bahawa "Boustead terpaksa menjual Hotel Bintang Royale Chulan kepada syarikat Singapura di bawah harga pasaran".

"Lembaga LTAT masih belum membuat keputusan akhir mengenai penjualan hotel," katanya.

Beliau juga menggesa ahli politik dan orang ramai menunggu sehingga siasatan terperinci dijalankan dan laporan akhir mengenai penyelewengan yang dijumpai oleh juruaudit yang dilantik.

"Patriot menggesa agar semua penyelewengan yang ditemui oleh juruaudit didedahkan kepada umum supaya pendeposit dan pelabur dapat kembali yakin dengan LTAT.

"Sekiranya terdapat penyalahgunaan atau konflik kepentingan dalam pengurusan kewangan oleh mana-mana ahli lembaga sebelumnya, maka dakwaa yang sewajarnya perlu dikenakan kepada pesalah," katanya.

Lihat Komen
ADS