Bekas menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein menegur ahli parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad supaya berhenti mencari alasan bagi “menuduh BN atas kegagalan Pakatan Harapan”.
Ahli Parlimen Sembrong berkata, tindakan Nik Nazmi menuding jadi pada kerajaan terdahulu dalam isu pembayaran dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) paling rendah, merupakan sikap lepas tangan.
"Ya, prestasi LTAT ada turun naiknya di zaman BN. Tetapi, Nik Nazmi sekali pun tidak pernah akui bahawa prestasi syarikat terbesar yang LTAT melabur di dalamnya iaitu Boustead alami kejatuhan nilai saham terburuk dalam sejarah. Ini tidak pernah berlaku di zaman BN.
"Beliau gelapkan fakta bahawa penentuan nilai dividen amat bergantung kepada prestasi syarikat ini. Jadi amat jelas, apabila nilai saham syarikat ini susut, maka dividen juga susut sehingga serendah dua peratus. Ini bukan salah PH ke?" soal Hishammuddin dalam posting Facebook, hari ini.
Beliau membalas kenyataan Nik Nazmi yang mendakwa Hishammuddin mengambil kesempatan daripada isu pembayaran dividen LTAT.

Sebaliknya, beliau diminta bertanggung jawab terhadap salah urus tadbir LTAT sebelum cuba menyalahkan penggantinya, Mohamad Sabu.
"Saya kesal beliau cuba menggunakan nasib pelindung dan wira negara untuk memberikan perlindungan politik kepadanya. Ia tidak patut berlaku.
"Apa yang beliau lakukan sepanjang menjadi menteri pertahanan? Mengapa beliau tidak melakukan apa-apa untuk menangani masalah yang dihadapi oleh LTAT?
“Kini beliau cuba untuk menyalahkan orang lain kerana kegagalannya ketika menjadi menteri pertahanan," kata Nik Nazmi dalam kenyataan media, semalam.
Masalah dari era BN - Nik Nazmi
Nik Nazmi juga mengatakan bahawa masalah yang dihadapi bukanlah satu fenomena baru, melainkan hasil daripada peninggalan dan salah laku masa lalu.
"Sebenarnya, LTAT telah membayar dividen melebihi kemampuan kewangan mereka. Ia adalah sesuatu yang janggal untuk bekas ahli kerajaan sebelum ini untuk menjual hujah dividen yang tinggi pada zaman mereka, sedangkan mereka sedang menjejaskan masa hadapan LTAT dan dana-dana lain.

"Audit juga mendapati bahawa LTAT mempunyai 88 unit kondominium bernilai RM45 juta yang belum dijual walaupun telah siap pada tahun 2015.
"Selain itu, sejak tahun 2014, LTAT dikatakan terlalu bergantung pada Boustead Holdings Bhd dan anak syarikatnya yang tersenarai (Kumpulan BHB).
“Kebergantungan LTAT terhadap Kumpulan BHB meningkat hampir 50 peratus daripada RM2.1 bilion kepada RM3.1 bilion. Semua ini berlaku ketika beliau menjadi menteri pertahanan. Sepatutnya beliau tahu akan hal ini," tambah Nik Nazmi.
Pencarum ialah wira negara - Hisham
Sementara itu, Hishammuddin menyifatkan beliau hairan bagaimana Nik Nazmi tergamak mempersoal usaha LTAT membayar dividen lebih kepada pencarum.
"Pencarum ini bukannya golongan biasa-biasa, tetapi perwira yang sanggup berkorban nyawa demi negara. Jadi apa salahnya jika kita cari jalan untuk pastikan nilai dividen konsisten setiap tahun demi kebajikan mereka.
"Malah bukan dividen sahaja, LTAT juga berusaha keras untuk bantu Kementerian Pertahanan membela kebajikan pencarum.

“Ini termasuklah - beli dan bina rumah pertama, bantu ringankan beban anggota yang kurang bernasib baik, beri biasiswa pendidikan serta pelbagai lagi bentuk bantuan," katanya.
"Jadi kepada Nik Nazmi dan kerajaan PH, cukup-cukuplah tuding jari kepada kerajaan terdahulu. Akuilah kesilapan dan terimalah hakikat bahawa kerajaan PH telah gagal mengurus tadbir negara termasuklah dalam menerajui Kementerian Pertahanan Malaysia.
“Jangan asyik cari alasan untuk lepas tangan," tambah beliau.
