Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Belanjawan: Pakar ekonomi akui SST tidak cekap, perlu diganti

Beberapa pakar ekonomi termasuk dari pihak kerajaan mengakui sistem percukaian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak cekap dan perlu diganti.

Antara mereka, Profesor Dr Barjoyai Bardai, berkata kerajaan perlu mencari jalan untuk memastikan pelaksanaan sistem percukaian yang lebih cekap.

"Kerajaan perlu memastikan SST lebih cekap berbanding GST bagi mengimbangi sistem percukaian yang digunakan sebelum ini.

"Mungkin kerajaan boleh mengubah kandungan atau liputan SST, supaya dapat tangani apa dicapai GST yang lepas," katanya kepada Malaysiakini.

Perkara sama juga turut diperakui, bekas ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram yang menggesa kerajaan supaya menggantikan SST kepada sistem percukaian pintar.

Memetik laporan BH, Jomo mengakui masa semakin suntuk untuk kerajaan mengubah sistem percukaian negara, sempena pembentangan Belanjawan 2020 yang dijadualkan pada 11 Oktober ini.

Katanya, peralihan kaedah penjanaan pendapatan untuk negara wajar bersandarkan sistem percukaian pintar yang berteraskan model lebih progresif.

Wakil rakyat PKR dari Perlis Noor Amin Ahmad pula menyambut baik cadangan pelaksanaan semula GST kerana berpendapat bahawa sistem pencukaian berkenaan lebih baik.

Menurut laporan Utusan Online, ahli parlimen Kangar itu memaklumkan bahawa pendiriannya mengenai kebaikan GST telah pun disampaikan semasa ucapan sulungnya di Dewan Rakyat tahun lalu.

Isu percukaian menjadi polemik menjelang Belanjawan 2020 yang akan berlangsung 11 November nanti, apabila ada pihak mahukan GST dikembalikan ekoran SST dilihat tidak efisien.

Semalam, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berharap kerajaan memperkenalkan semula GST dalam Belanjawan 2020 untuk menutup jurang kewangan kerajaan.

Pengerusi MIER Dr Kamal Salih, berkata cukai kepenggunaan itu adalah sistem percukaian yang adil dan cekap, berbanding sistem SST.

Dalam pada itu, Barjoyai berkata adalah paling penting Belanjawan yang diumumkan kerajaan menyentuh keperluan rakyat.

Beliau berkata, bagi memastikan kemakmuran besama dapat dikecapi, isu kemiskinan harus menjadi salah satu fokus utama kerajaan.

Fokus kepada Sabah dan Sarawak

Bagi pemerhati politik, Dr Al-Azharri Siddiq Kamunri berharap Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan kerajaan turut memberi fokus kepada Sabah dan Sarawak.

Al-Azharri, berkata salah satu keutamaan yang perlu diberi perhatian adalah kemudahan insfratuktur yang lebih baik di dua negeri berkenaan.

"Ia penting kerana Kerajaan telah menunjukkan iltizam yang tinggi untuk memenuhi harapan rakyat Sabah dan Sarawak termasuklah harapan di dalam MA63.

"Dari sudut federalism, kita perlu melihat harapan rakyat Sabah dan Sarawak untuk turut menikmati pemodenan seperti memiliki jalan raya yang selamat, sistem pendidikan moden yang mantap, elektrik dan kemudahan Internet yang sering dengan kemajuan di semenanjung," katanya.

Sementara itu, beliau berkata isu royalti minyak sebanyak 20 peratus juga menjadi perhatian Sabah dan Sarawak bagi Belanjawan 2020.

"Saya sedar Kerajaan Persekutuan sedang berusaha memenuhi permintaan rakyat Sabah dan Sarawak dalam isu royalti minyak dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," tambahnya.


Lihat Komen
ADS