Malaysiakini BERITA

Jalan terbaik untuk ketua eksekutif HK ialah letak jawatan, kata Dr M

Wartawan Malaysiakini

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berpandangan Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam perlu meletakkan jawatan susulan protes yang masih berterusan di wilayah pentadbiran khas itu.

Mahathir juga menjangkakan China akhirnya akan menggunakan "tindakan keras" terhadap mereka yang menyertai protes itu

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan nasihatnya kepada Lam, ketika sesi soal jawab di Lawasia Constitutional and Rule of Law Conference di Petaling Jaya, hari ini.

"Hakikatnya dia kini dalam dilema, dia perlu patuh kepada tuan dan pada masa sama bertanya nuraninya, nuraninya berkata rakyat Hong Kong di pihak yang betul dalam menolak undang-undang. Tetapi dia tahu akibat menolak undang-undang.

"Ia pernah berlaku di China, peristiwa (Dataran) Tiananmen. Rakyat yang berdemonstrasi juga ada pertalian kekeluargaan dengan askar di kawasan itu. Jadi apa yang mereka buat ialah dengan bawa askar dari kawasan lain dan ambil tindakan keras untuk menamatkan demonstrasi.

"Saya rasa akhirnya itulah yang akan dilakukan China. Tetapi bagi pentadbir, saya rasa jalan terbaik ialah letak jawatan," katanya di program itu yang membicarakan soal perlembagaan dan undang-undang.

Protes itu tercetus beberapa bulan lalu ekoran rang undang-undang yang akan membolehkan rakyat Hong Kong diekstradisi ke China. Rang undang-undang itu bagaimanapun telah ditarik balik.

Saifuddin: Dasar luar perlu strategik

Semalam, Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) prodemokrasi dan hak asasi manusia dan mengikuti secara rapat perkembangan di Hong Kong.

Namun katanya negara perlu mengambil pendirian strategik dalam soal hak asasi manusia di wilayah Xinjiang yang bergolak.

"Malaysia ingin menegakkan prinsip demokrasi, kebebasan dan hak asasi tetapi kita juga perlu strategik dalam pendekatan dasar luar kita," katanya dalam satu sesi bersama media berkenaan rangka dasar luar negara.

"Apabila berkaitan Palestin dan Rohingya, Jammu dan Kashmir, kita sangat vokal tetapi jika anda lihat ketiga-tiga isu ini secara lebih dekat, ada perbezaan dari segi cara kita bersuara," katanya.

Saifuddin berkata, Malaysia boleh mengambil pendekatan bertamadun dengan Beijing - berhubung isu etnik Uyghur di Xinjian - dengan berhubung dengan mereka dalam forum berkaitan Islam di China.

"Ia isu yang sangat kompleks. Kita perlu gunakan kebijaksanaan dan keadah yang terbaik...Dalam keadaan tertentu, lebih kurang diperkatakan lebih baik," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Laporan ini disediakan oleh M Fakhrull Halim, Annabelle Lee, dan Hidir Reduan Abdul Rashid.