Paling Popular
Terkini
story images
story images

Bagi mereka yang mengenali Allahyarham Nik Aziz Nik Mat yakin bahawa bekas menteri besar Kelantan itu tidak akan merestui kerjasama PAS dan Umno kerana beliau adalah pemimpin Islam yang mengutamakan rakyat berbilang kaum.

Selain itu, bekas mursyidul am PAS itu pasti terkejut dengan perkembangan perkauman dan antiagama yang tercetus ketika ini, kata bekas Presiden Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikhisme dan Taoisme Malaysia A Vaithilingam.

"Ketika saya menyaksikan Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengumumkan di televisyen bahawa arwah Tok Guru (Allahyarham) akan meluluskan piagam PAS, Umno, saya tertawa dan berkata ini 'sampah'," katanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

"Ia tidak benar sama sekali. Nik Aziz sentiasa tidak menyokong Umno kerana rasuahnya dan politik perkauman.

"Nik Aziz dan seorang lagi pemimpin PAS Fadzil Noor adalah individu contoh. Mereka penuh keyakinan terhadap kepercayaan mereka dan juga hormat orang lain,"kata Vaithilingam, 85 yang pernah berkhidmat sebagai presiden Hindu Sangam dari 1996 hingga 2009.

Jelas Vaithilingam, bekas mursyidul am PAS itu memberi gambaran yang baik terhadap Islam dalam interaksi antara mereka sehingga beliau turut terkesan.

'Merapatkan jurang antara agam'

Vaithilingam memberikan contoh ketika dia mengetuai delegasi dialog antara agama ke Kota Bharu, Kelantan.

"Pada tahun 1980-an, di bawah pemerintahan Umno, Gereja Katolik diminta membuang salib di pintu utama. Permohonan kuil juga ditolak.

"Tetapi selepas PAS mendapat semula kuasa pada tahun 1990, kami bertemu Tok Guru dan dia sangat bersimpati. Salib telah diletak semula dan mereka juga meluluskan bangunan kuil tiga tingkat di tengah-tengah bandar.

"Ini menunjukkan kepada saya bahawa Nik Aziz adalah seorang yang sangat beriman dengan kepercayaannya kerana dia boleh menggalakkan agama untuk berkembang bersama antara satu sama lain," katanya.

Menurut Vaithilingam, pemimpin PAS itu mengadakan usaha yang tulen untuk merapatkan jurang antara agama.

"Bahkan apabila membincangkan penukaran agama dalam Islam, dia kata 'Saya akan beri jaminan kepada kamu bahawa ini hanya akan beri kesan kepada umat Islam, tapi pada masa yang sama, kamu boleh datang kepada saya dan beritahu saya apa nasihat setiap agama tentang penukaran agama. Mungkin kita boleh belajar dan buat undang-undang khusus,"Katanya.

Nik Aziz, katanya, akan menjemput pemimpin ke rumahnya, duduk di lantai dan menghidangkan teh. Allahyarham juga memiliki cara bercakap sebagai seorang yang penyayang.

Bagi Vaithilingam, sikap itu berbeza dengan Hadi, yang berkhidmat sebagai Menteri Besar Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004.

Berdasarkan pengalamannya bertemu dan berbincang dengan Abdul Hadi, Vaithilingam tanpa teraagak-agak menyifatkan Anggota Parlimen Marang itu sebagai berbahaya untuk Malaysia.

"Saya mengetuai delegasi untuk bercakap dengan Hadi tetapi setiap kali itu dia mencelah dengan mengatakan seperti" Kalau masuk Islam, tak boleh keluar".

"Akhirnya, dia beritahu kami 'jangan cakap tentang Islam atau undang-undang syariah lagi' dan secara tiba-tiba mengakhiri dialog, walaupun penukaran agama semestinya memberi kesan kepada penganut lain.

"Dia (Hadi) tidak menghormati kepercayaan orang lain yang menjadikan seorang pemimpin itu hebat.

"Nik Aziz adalah seorang individu yang sangat rendah diri yang mahu berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Dihormati orang Islam dan bukan Islam

Pandangan Vaithilingam turut disuarakan aktivis Dialog Antara Aagama, Hermen Shastri yang juga setiausaha umum Dewan Gereja-gereja Malaysia.

Mengimbau pertemuannya dengan Nik Aziz, Shastri berkata bekas pemimpin PAS adalah Muslim yang komited, rendah diri dan lemah lembut.

"Dia juga berprinsip mahu berkhidmat kepada rakyat dengan penuh hormat dan adil. Nik Aziz mendapat penghormatan daripada bukan Islam kerana dia tidak mengatakan apa-apa yang merendahkan kepercayaan atau amalan agama lain.

"Ahli politik semasa, terutamanya Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) dan bakal PM (Anwar Ibrahim) perlu mewarisi legasi Islam yang lembut, belas ihsan dan bertolak ansur ketika kita bergerak ke era baru," katanya kepada Malaysiakini.

Pengarah Institute Of Ethnic Studies, Prof Shamsul Amri Baharuddin pula berpendapat dalam era Islamophobia yang melanda di seluruh dunia, pemimpin seperti Nik Aziz amat diperlukan.

"Dengan pelbagai etnik di Malaysia, Nik Aziz sangat dihormati orang Islam dan bukan Islam. Beliau adalah seorang pemimpin Islam sebenar yang dilihat tidak terperangkap dengan harta benda.

"Kehidupan peribadinya sama seperti seorang yogi India, rendah diri, berhemah, lembut dan menjadi teladan dalam kehidupan sehari-hari. Beliau adalah contoh positif yang mahu diikuti oleh pemimpin-pemimpin lain, "katanya.

Bagaimanapun, Shamsul berkata walaupun pendekatan holistik dan inklusif Nik Aziz adalah positif, namun keupayaan beliau terhad dalam bidang lain.

"Kita tidak mengharapkan untuk mendengar pendapatnya tentang perlucutan senjata nuklear, tetapi beliau banyak mengatakan tentang perjuangan Palestin dan Iraq dari era pasca Saddam,"katanya.

Nik Aziz adalah generasi pemimpin yang dapat menyeimbangkan prinsip mereka dengan menghormati kepercayaan orang lain.

Pengasas PKR Syed Husin Ali berkata meskipun Nik Aziz adalah contoh yang baik, namun beliau berpendapat pengasas PAS Dr Burhanuddin Helmi (1911-1969) adalah "lebih baik lagi."

"Kedua-duanya tidak setuju dengan ucapan berunsurkan kebencian seperti pada masa kini, dengan orang menghina dan memprovokasi tentang kaum dan agama antara satu sama lain. 

"Walaupun beliau (Nik Aziz) seorang yang alim dalam Islam, Burhanuddin dapat bekerjasama dengan orang-orang dari pelbagai ideologi termasuk komunis.

"Juga menjadi seorang nasionalis Melayu, dia boleh bekerja dengan baik dengan bukan Melayu," katanya.

Lihat Komen
ADS