Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP: Lompat parti di M'sia kerana politik, bukan berbeza prinsip
Diterbitkan:  Oct 5, 2019 4:17 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Pengerusi Biro Undang-undang DAP Ramkarpal Singh menyuarakan kekesalannya berkenaan pendirian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkenaan ahli politik lompat parti.

Beliau merujuk kepada kenyataan Mahathir semalam bahawa tindakan lompat parti oleh ahli politik boleh diterima jika ia dibuat dengan tujuan yang baik.

Justeru kata Mahathir lagi, tiada keperluan untuk kerajaan menggubal undang-undang bagi menghalang ahli politik berbuat demikian.

Mengulas kenyataan itu, Ramkarpal berkata pandangan itu boleh menggalakkan lagi perlakuan itu yang menurutnya tidak bermoral (morally despicable) dan tidak sepatutnya diterima.

"Memang ada beberapa keputusan mahkamah yang mengisytiharkan lompat parti adalah sah kerana ahli politik ada kebebasan menyertai mana-mana parti yang disukainya, tetapi perlu diingat semua wakil rakyat dipilih oleh rakyat, kebanyakannya disebabkan parti mereka dan bukan sebagai individu.

"Jika seorang wakil rakyat kecewa dengan pendirian partinya sehingga tidak mahu lagi menjadi sebahagian daripadanya, perkara yang betul dari segi moral ialah untuk letak jawatan (sebagai wakil rakyat) dan jelaskan pendiriannya dalam pilihan raya kecil," katanya yang juga anggota parlimen Bukit Gelugor.

Beliau membangkitkan beberapa insiden lompat parti yang berlaku selepas PRU ke-14 tahun lalu, ketika Pakatan Harapan (PH) menggantikan BN sebagai kerajaan persekutuan.

"Hakikatnya lompat parti di negara ini berlaku kerana kepentingan politik dan bukan kerana mereka kecewa dengan hala tuju parti lama mereka," katanya lagi.

Katanya, kerajaan perlu ada iltizam politik untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan lompat parti sebagai satu kesalahan, serta merangka undang-undang berkaitannya.

Antara realiti dan hak

Bercakap di Lawasia Constitutional and Rule of Law Conference 2019 semalam, Mahathir berkata: "Ketika berdepan keadaan di mana kerajaan memang teruk, dan anda tak boleh lompat, adakah anda masih perlu kekal dalam kerajaan? Saya fikir ia tak akan menyumbang kepada tadbir urus yang baik.

"Jadi saya rasa anda patut boleh lompat dan tukar parti. Dan anda lakukannya atas sebab yang baik, bukan kerana anda rasa jika rapat dengan perdana menteri baru, anda mungkin akan jadi menteri. Jika itu sebab anda lompat, ia tidak baik."

Pandangan itu kemudian dijawab ahli akademik dari Singapore Management University , Prof Kevin Tan, yang berkata sejarah politik Malaysia mewajarkan undang-undang antilompat parti.

"Kita melihat parti (politik) dan ahli parti (politik berbeza) dipikat untuk menukar parti ketika saat penting selepas pilihan raya. Ada orang yang tukar parti, dan (situasi di mana) seseorang ke istana untuk melantik menteri besar baru.

"Ia lebih bahaya daripada apa yang dilihat sebagai hak untuk melompat (parti)," katanya.

Lihat Komen
ADS