Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Penurunan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera menyedihkan
Diterbitkan:  Oct 5, 2019 5:36 PM
Dikemaskini: 11:06 AM

PAS menyifatkan penurunan sebanyak tujuh peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera pada tahun 2011 adalah sesuatu yang menyedihkan.

Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu sangat terkejut dengan pendedahan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pada pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di ibu negara, hari ini.

"Penurunan tujuh mata peratusan iaitu daripada 23 peratus pada tahun 2011 kepada 16 peratus pada tahun 2015 dalam pemilikan ekuiti korporat Bumiputera amat menyedihkan.

"Statistik ini juga membuktikan bahawa dasar afirmatif mesti diteruskan dan pelbagai kelompongan hendaklah diatasi. Isu Ali Baba, ‘rent-seeking’, ‘patronage’ dan rasuah hendaklah dibanteras sepenuhnya.

"Wawasan Kemakmuran Bersama yang akan mula dilaksanakan mesti meletakkan kepentingan Bumiputera dengan adil," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Terdahulu, berucap ketika merasmikan Wawasan Kemakmuran Bersama, Perdana Menteri berkata, perkara pokok yang merencatkan pengembangan dan pengagihan ekonomi negara adalah aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa, bukannya Agenda Bumiputera.

Beliau berkata Agenda Pemerkasaan Bumiputera menerima impak besar daripada masalah tersebut apabila peluang dan sokongan yang sepatutnya diberikan kepada Bumiputera telah disalahgunakan dan tiris kepada kumpulan yang tidak sepatutnya.

Jelas beliau, sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera yang telah ditetapkan dalam Dasar Ekonomi Baru juga masih lagi belum tercapai.

Perdana menteri berkata peningkatan ekuiti asing juga membimbangkan.

Hasil kajian dan data terkumpul mengenai kedudukan ekuiti korporat Negara sehingga 2015 mendapati ekuiti korporat Bumiputera telah jatuh kepada 16.2 peratus manakala bukan Bumiputera turun kepada 30.7 peratus dan pemilikan ekuiti asing meningkat kepada 45.3 peratus.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata kerajaan perlu menyemak semula situasi kenaikan mendadak ekuiti korporat yang dimilik warga asing agar dapat diselaraskan seperti mana yang telah digariskan sebelum ini.

PAS turut mendesak kerajaan melunaskan janji manifesto untuk menerbitkan secara terperinci laporan jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera yang terkini untuk pengetahuan umum.

"Pakatan Harapan (PH) telah berjanji bahawa laporan tersebut akan dimasukkan dalam ucapan belanjawan setiap tahun. Walau bagaimanapun, pada tahun lepas, janji itu tidak ditunaikan," katanya.

Lihat Komen
ADS