Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wakil PBB harap M'sia pastikan akses pendidikan, kerja buat Rohingya

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet berharap Malaysia membuka akses pendidikan dan pekerjaan kepada pelarian Rohingya.

Jelasnya, akses secara meluas itu wajar diberikan agar etnik berkenaan dapat menjalani kehidupan lebih selesa di Malaysia.

“Semalam saya telah berpeluang untuk melawat kawasan pembelajaran bagi pelarian Rohingya. Saya berharap hak pendidikan dan akses untuk pekerjaan dapat dipastikan untuk semua pelarian (Rohingya).

“Sudah tentu kami berbincang berkenaan isu pelarian dan di masa depan mungkin Malaysia dapat meratifikasi hak pelarian Rohingya,” katanya pada sidang media bagi mengulas lawatan PBB selama 4 hari di Malaysia.

Bachelet juga menjelaskan Malaysia kini sedang bekerjasama dengan kerajaan Myanmar bagi memastikan keselamatan pelarian Rohingya yang mahu pulang ke negara itu.

“Malaysia dan juga negara Asia yang lain kini sedang berbincang dengan Myanmar bagi memastikan negara itu selamat.

“Pertama jika pelarian Rohingya mahu pulang (ke Myanmar), ia mestilah secara sukarela dan keadaan berada dalam aman namun kami (PBB) yakin (Myanmar) masih belum bersedia lagi,” katanya.

Bachelet kini dalam lawatan kerja empat hari ke Malaysia bermula Khamis lalu dan melakar sejarah apabila menjadi pesuruhjaya tinggi pertama PBB melawat Malaysia.

Semalam, Menteri Luar Saifuddin Abdullah menjelaskan kerajaan Malaysia mengambil pendekatan terbuka dalam menerima sebarang lawatan daripada Pesuruhjaya Tinggi atau Pelapor Khas daripada PBB.

Beliau berkata, pendekatan terbuka ini berbeza dengan kerajaan terdahulu yang ada kalanya tidak membenarkan wakil daripada PBB datang untuk melihat keadaan dalam negara.

PBB tak bincang haramkan khatan bayi perempuan

Sementara itu, Bachelete masih tetap pendirian terhadap kritikan amalan mutilasi alat kelamin wanita (FGM) di negara ini namun tidak memberi tempoh kepada kerajaan untuk mengharamkan amalan tersebut.

Kata Bachelete lagi, PBB memahami bahawa setiap negara mempunyai amalan dan budaya yang berbeza terhadap amalan berkhatan itu.

“Kami (PBB) tidak berbincang berkenaan tempoh masa untuk pengharaman FGM.

“Kami bercakap berkenaan isu ini dan cari jalan kerana memahami setiap komuniti mempunyai cara dan budaya berbeza berkenaan perkara tersebut,” katanya.

Sebelum ini, PBB menggesa negara tertentu termasuk Malaysia menghentikan amalan berkhatan bagi perempuan dalam tempoh sehingga tahun 2030.

Tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kritikan terhadap amalan berkhatan di kalangan bayi perempuan di negara ini sedang dibincangkan dengan Kementerian Kesihatan.

Beliau mengulangi pendirian kementeriannya kepada PBB bahawa amalan itu hanya melibatkan bayi dan lebih bersifat budaya.

Suhakam menyelar pembentangan Laporan Berkala Sejagat (UPR) kementerian itu kepada PBB sebagai memberi maklumat tidak tepat.

Pengerusinya, Razali Ismail dalam satu kenyataan berkata, pembentangan yang mengelirukan itu hanya akan menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pada sesi UPR itu, wakil kementerian dilaporkan berkata, amalan berkhatan bayi perempuan merupakan sebahagian daripada budaya Malaysia.

Lihat Komen
ADS