Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Salleh mohon sertai PKR demi negara
Diterbitkan:  Oct 6, 2019 9:00 AM
Dikemaskini: 1:16 AM

Bekas menteri kanan Umno, Salleh Said Keruak, berkata tindakannya memohon untuk menyertai salah satu parti PH adalah "betul" dan berdasarkan keyakinan beliau mampu menyumbang kepada negara.

Salleh yang diberi kepercayaan oleh Najib Razak mengetuai Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sebelum PRU ke-14 lalu berkata, beliau mahu membantuk PKR membawa amalan politik progresif dan berbilang kaum, terutama di Sabah.

Katanya ketika amalan politik berteraskan kaum dan ekstremisme sedang berlangsung di negara ini, PKR pula berada di landasan yang tepat kerana mengutamakan kestabilan dan kesederhanaan untuk menyelamatkan Malaysia.

"Sejak menyertai dunia politik hinggalah ke hari ini, saya kekal sebagai seorang moderat, progresif dan amat mendukung kestabilan.

"Saya percaya langkah yang saya ambil ini adalah langkah yang betul buat diri saya, dan saya percaya saya boleh menyumbang ke arah kestabilan dan kemakmuran Sabah khususnya, dan Malaysia amnya," kata beliau.

Sejak kalah dalam PRU lalu nama Salleh dan sebahagian besar pemimpin Umno dari Sabah agak tenggelam. 

Akhir tahun lalu beliau bersama sejumlah besar wakil rakyat Umno mengumumkan untuk keluar dari parti terbabit dan menjadi anggota bebas.

Turut mengambil langkah tersebut ialah bekas speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia. 

Malam tadi PKR mengesahkan Salleh membuat permohonan menyertai parti terbabit secara dalam talian tetapi belum ada keputusan dibuat mengenainya.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata permohonan Salleh akan dibincangkan oleh biro politik parti itu dalam mesyuarat akan datang.

Semasa berkhidmat sebagai menteri, Salleh merupakan antara pemimpin BN yang gigih mempertahankan Najib yang ketika itu dikritik kerana pelbagai dakwaan, terutama berkaitan skandal 1MDB.


Baca Salleh: Mahathir tahu HARAPAN akan kalah


Salleh juga menteri yang bertanggungjawab mengelola Jabatan Hal Ehwal Khas yang terletak di bawah KKMM.

Menurut Salleh beliau menyerahkan kepada PKR untuk menentukan sama ada permohonan yang dibuatnya itu diterima atau sebaliknya.

"Seperti yang pernah dijelaskan, saya dan sebilangan besar kepimpinan Umno Sabah mengambil keputusan meninggalkan parti pada Disember 2018 demi memberi tumpuan kepada masa hadapan negeri Sabah," katanya.

Salleh, 62, pernah menjadi pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) sebelum menyertai Umno pada 1991. Setahun kemudian beliau dilantik menjadi ketua menteri Sabah.

Beliau juga pernah diberi kepercayaan oleh Najib untuk menjadi bendahari Umno Malaysia.

Pada PRU ke-14 tahun lalu, Salleh bertanding di kawasan parlimen Kota Belud namun kalah kepada calon Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis.

Lihat Komen
ADS