Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Prof Zainal Kling dalam ucapan pembukaan Kongres Maruah Melayu hari ini mengingatkan kontrak sosial "boleh digantung" jika ada pihak yang melanggarnya.

Beliau yang merupakan ketua eksekutif sekretariat program itu berkata kontrak itu - yang dicapai ketika memberikan kerakyatan kepada orang bukan Melayu dahulu - adalah budi baik orang Melayu dan asas kepada negara ini.

"Meskipun kita beri kerakyatan... Namun mereka sering langgar budi baik dan anugerah kita. Maka kerana ada ura-ura untuk rendahkan kontrak ini...Kita ingatkan dalam Al-Quran ada ayat yang membenarkan kita untuk menggantung perjanjian.

"Maka barangkali orang Melayu terpaksa kembali kepada firman Allah ini seperti yang termaktub dalam surah At-Taubah," katanya ketika berucap di Stadium Malawati, Shah Alam hari ini.

Beliau mendakwa antara perkara yang kini dicabar ialah kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan kedudukan raja-raja Melayu.

Surah At-Taubah merujuk kepada pembatalan perjanjian jika ia dilanggar dan berkenaan Perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai Nabi Muhammad dengan penduduk Madinah.

Kontrak sosial merupakan persetujuan antara wakil dalam Parti Perikatan menjelang kemerdekaan tetapi ia bukanlah satu dokumen fizikal.

Zainal berkata lagi, orang Melayu telah mewarisi negara ini sejak 5,000 tahun yang lalu dan selama itu juga telah mempertahankannya.

"Kita telah bermastautin di sini sekian lama, membina kedaulatan dan bina tanah Melayu.

"Kita terima kemasukan orang lain sebagai warga sama taraf kecuali kita tuntut beberapa bahagian yang istimewa (khas) untuk kita," katanya lagi.

Kongres Maruah Melayu bermula kira-kira pukul 9.30 pagi tadi dan disertai 5,000 hadirin, selain sejumlah lagi yang berada di luar stadium.

Antara pemimpin yang hadir ialah Setiausaha Agung Umno Annuar Musa, bekas menteri Khairy Jamaluddin dan Hishammuddin Hussein, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob.

Turut hadir ialah pemimpin Bersatu seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Mukhriz Mahathir, selain Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Turut hadir Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan penyanyi terkenal Siti Nurhaliza.

Resolusi berkenaan ekonomi, pendidikan dan budaya Melayu turut dibentang dan disampaikan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang turut berucap merasmikan kongres itu.

Lihat Komen
ADS