Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kementerian jawab dakwaan Najib isu pengiraan WKB2030
Diterbitkan:  Oct 6, 2019 4:42 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi membidas bekas perdana menteri Najib Razak yang mendakwa kementerian itu salah dalam peniraan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan yang diperlukan untuk mencapai sasaran KDNK RM3.4 trilion pada 2030.

RM3.4 trilion adalah jumlah yang diperlukan untuk mencapai sasaran yang dinyatakan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

"Untuk mencapai sasaran nilai KDNK RM3.4 trilion pada tahun 2030, KDNK perlu berkembang pada harga malar 4.7% setahun bagi tempoh 2018 hingga 2030 dengan kadar inflasi purata 2.3% dalam tempoh tersebut.

"Atau dalam kata lain, sasaran nilai KDNK RM3.4 trilion boleh dicapai dengan pertumbuhan purata pada harga nominal sebanyak 7% setahun bagi tempoh 2018 hingga 2030," kata kementerian itu dalam kenyataan media hari ini.

Kementerian itu juga menjelaskan bahawa kadar pertumbuhan 4.7 peratus adalah harga tetap, manakala harga nominal dengan mengambil kira kesan inflasi akan berjumlah 7.0 peratus.

Lazimnya, kata kementerian itu, nilai KDNK dinyatakan dalam harga nominal manakala kadar pertumbuhan KDNK dinyatakan dalam harga malar.

Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa pada 2018, kadar inflasi purata di Malaysia berjumlah kira-kira 0.97 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bulan lepas, kadar inflasi meningkat kepada 1.5 peratus.

Kenyataan kementerian itu juga menjelaskan bahawa dokumen WKB 2030 jelas membezakan angkubah mengikut kedua pengukuran berkenaan.

Bagaimanapun, tidak disebut secara khusus mengenai inflasi sebagai faktor dalam dokumen itu.

 

Sementera itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali turut membidas Najib melalui Twitter.

Timbalan presiden PKR itu menuduh Najib cuba mengalihkan perhatian orang ramai dari perbicaraan 1MDB.

"Dia (Najib) harus memberi tumpuan kepada pengiraan hakiki dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana berbilion-bilion wang rakyat dirompak daripada khazanah negara," katanya.

Semalam, Najib dalam kenyataan di Facebook berkata untuk mencapai sasaran RM3.4 trilion pada 2030, negara perlu memperoleh purata pertumbuhan 7.36 peratus dan bukannya 4.7 peratus.

Lihat Komen
ADS