Paling Popular
Terkini

PKR Perak tiada masalah dan terbuka menerima bekas menteri komunikasi dan multimedia, Salleh Said Keruak sebagai ahli parti berkenaan.

Pengerusinya Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata pengalaman dan ketokohan yang ada pada diri pemimpin politik itu mampu menyumbang selain menambah kekuatan kepada PKR khususnya di Sabah.

"Saya kenal beliau secara peribadi di zaman beliau menteri lagi. Bagi saya dia seorang yg baik, bekerja keras dan berada dalam kalangan tokoh-tokoh politik yang sentiasa perjuangkan nasib rakyat di Sabah.

"Beliau juga merasakan PKR ini adalah platform sesuai dan tepat untuk dirinya terutama sekali senario di Sabah yang rakyat berbilang kaum dan di situ saya rasa beliau sangat tepat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Tambun 2019 yang dihadiri lebih 500 anggota parti di Dewan Taman Perpaduan, di Ipoh, Perak hari ini.

Semalam, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengesahkan telah menerima permohonan keanggotaan Salleh Said secara dalam talian dan ia bakal dibincangkan pada mesyuarat akan datang.

Farhash berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan berlaku perbezaan pandangan daripada pelbagai peringkat sekiranya penyertaan Salleh diterima secara sah oleh biro politik PKR.

"Buat masa ini saya tak dengar lagi sebarang tentangan. Tapi biasalah dalam politik ini pasti akan ada yang menentang dan pasti juga ada yang akan menerima sebab nama (Salleh) ini adalah nama besar," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS