Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM kompaun 80 penerima 1MDB untuk dapat semula RM420j

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengeluarkan notis kompaun terhadap 80 individu dan entiti bagi mendapatkan semula wang yang mengalir keluar daripada 1MDB.

Berdasarkan senarai, antara yang menerima notis kompaun tersebut termasuk bekas pengerusi kumpulan CIMB Nazir Razak, anggota Parlimen Pontian Ahmad Maslan dan bekas Pengerusi Felda, Shahrir Samad.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, jumlah notis kompaun bernilai RM420 juta itu perlu dijelaskan oleh mereka dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

Jelasnya, tindakan itu disiasat mengikut Seksyen 92 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Sekiranya gagal membayar kompaun itu, pihak terbabit akan dihadapkan ke mahkamah, katanya.

“Semua wang yang terlibat ini adalah milik rakyat dan SPRM akan menuntut semula sebanyak yang mungkin.

“Wang yang terlibat keluar ini melibatkan transaksi melalui bayaran cek,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

Menurut Latheefa, Nazir yang juga adik kepada bekas perdana menteri Najib Razak, adalah antara individu menerima jumlah wang tertinggi daripada senarai 80 penerima iaitu berjumlah RM25.7 juta.

Katanya, bagi syarikat pula, penerima wang tertinggi ialah Solar Shine Sdn Bhd yang menerima RM134 juta.

Turut menerima notis ialah bekas setiausaha politik kepada bekas perdana menteri, Mohamad Fatmi Che Salleh, Puteri Umno Malaysia, Badan Perhubungan Umno Perak dan Pulau Pinang, 15 Umno bahagian, MIC, Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor, Parti Rakyat Sarawak, Gerakan Kedah dan Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) Kedah.

Organisasi yang turut menerima wang berkenaan ialah Koperasi Belia 1Malaysia Wilayah Persekutuan Berhad, MASCOM Communications, IPF Building Fund serta Badan Rekreasi dan Komuniti Pengerang, selain 23 syarikat.

Lihat Komen
ADS