Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SOP di FIC lepas pembelian hotel jadi isu, kata saksi

Prosedur operasi standard (SOP) untuk penyediaan kertas kerja di Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) bagi mendapatkan kelulusan anggota lembaga pengarah hanya dibuat selepas pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) menjadi isu.

Hal itu didedahkan oleh bekas ketua Bahagian Perundangan dan Kesetiausahaan FIC, Siti Salwani Mohd Salleh, dalam perbicaraan kes rasuah dan pecah amanah membabitkan Isa Samad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

FIC merupakan anak syarikat dimiliki 100 peratus oleh Felda.

Menjawab soalan balas oleh peguam bela tertuduh, Salehuddin Saidin, Siti Salwani juga bersetuju apabila dicadangkan bahawa tanpa SOP sebelum pembelian tersebut, pihak Lembaga Pengarah FIC tidak mengetahui tentang pembelian berkenaan.

Salehuddin: SOP yang dibuat itu adalah SOP yang betul-betul baru, tak rujuk pada SOP terdahulu? Semasa kelulusan (pembelian hotel) dibuat, tak ada SOP digariskan oleh FIC. Setuju?

Siti Salwani: Ya.

Salehuddin: Setuju tak, dengan ketiadaan SOP, kamu tak boleh (jangka) sesiapa pun, termasuk ahli lembaga pengarah untuk betul-betul tahu tentang apa yang nak dibuat (berkaitan permohonan untuk pembelian tersebut)?

Siti Salwani: Ya.

Dalam perbicaraan hari pertama siang tadi, Isa - yang merupakan bekas pengerusi dan pengarah FIC - dituduh melakukan pecah amanah dengan memainkan peranan aktif dalam pembelian MPHS pada harga RM160 juta tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah Felda.

Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan mesyuarat ahli Lembaga Pengarah Felda pada 2013 yang menyatakan mereka memberi mandat kepada ahli Lembaga Pengarah FIC membuat keputusan pelaburan melibatkan projek bernilai bawah RM100 juta.

Isa turut berhadapan sembilan lagi tuduhan menerima suapan RM3,090,000 daripada Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel, yang memiliki MPHS, sebagai upah kerana membantu meluluskan pembelian aset tersebut.

Untuk tuduhan pecah amanah, Isa dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan sembilan pertuduhan menerima suapan secara rasuah bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Perbicaraan dijalankan di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, manakala pasukan pendakwaan diketuai timbalan pendakwa raya Afzainizam Abdul Aziz.

Sementara itu, dalam pemeriksaan semula oleh Afzainizam Abdul Aziz, Siti Salwani menjelaskan bahawa selepas isu pembelian MPHS timbul, FIC membuat SOP yang berkaitan aspek pelaburan, sumber manusia, pengurusan dan sebgainya untuk diguna pakai bukan hanya oleh FIC, tetapi semua anak syarikat Felda yang lain.

Sementara itu, saksi ketiga, bekas Pengarah Kewangan Felda, Mohd Shahrin Mohd Ali, berkata bayaran RM100 juta diluluskan oleh Felda sebagai bayaran pendahuluan kepada FIC untuk membiayai pembelian MPHC.

Bagaimanapun, jelasnya, kertas bayaran pendahuluan tersebut hanya untuk meratifikasi pembelian dana dalam bentuk pendahuluan, dan bukannya meratifikasi kelulusan pelaburan pembelian MPHS yang melebihi RM100 juta.

Dalam kenyataan tersebut, Mohd Shahrin menjelaskan tentang sumber dan proses kelulusan pembiayaan dana daripada Felda kepada FIC.

Mohd Shahrin juga memperincikan dana-dana yang pernah diberikan oleh Felda kepada FIC untuk pelbagai tujuan, iaitu sebanyak RM499,500,000 (pada 27 Mei 2014), RM51,208,139.71 (pada 23 Sept 2014), RM100,000,000 (pada 29 Mei 2015), RM1,000,000 (pada 21 Okt 2015) dan RM1,880,000 (28 Okt 2015).

Perbicaraan bersambung esok.

Lihat Komen
ADS